PENYAMPAI
:
TIMBALAN MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
04-Oct-2004HARI : Isnin
MAJLIS
:
PERASMIAN PERSIDANGAN AKAUNTAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN
TEMPAT
:
GRAND PLAZA PARK ROYAL PULAU PINANG
ISU
:
LAIN-LAIN



TEKS UCAPAN PENUH :

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis
Yang Berusaha
Yang Berusaha
Yang Berusaha, Prof. Madya Dr. Mahamad Tayib,
Dekan Fakulti Perakaunan
Yang Dihormati penceramah-penceramah jemputan
Tetamu-tetamu, ahli jawatankuasa penganjur, peserta-peserta persidangan, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama pada hari yang mulia dan penuh bermakna ini dalam Persidangan Akauntan Pihak Berkuasa Tempatan anjuran bersama Institut Penyelidikan Perakaunan Kerajaan Negeri dan Tempatan, Universiti Utara Malaysia, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Terlebih dahulu saya merakamkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada jawatankuasa penganjur persidangan kerana telah berjaya merealisasikan penganjuran persidangan ini. Sesungguhnya usaha yang dilakukan ini merupakan satu usaha yang murni di samping dapat mengukuhkan hubungan dan menggalakkan jalinan rangkaian di antara Pentadbir, Akauntan, para akademia dan juga mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang perakaunan dan pengauditan.
Matlamat utama seminar ini adalah untuk kita berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan kemahiran di dalam perakaunan khususnya yang berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan di samping mempertingkatkan akauntabiliti pengurusan kewangan.
Dato’-dato, Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Sehingga ke hari ini kerajaan terus memberi perhatian yang serius kepada usaha-usaha bagi meningkatkan tahap kualiti pengurusan kewangan di samping meningkatkan tahap akauntabiliti di kalangan anggotanya. Kalau dilihat dalam pembentangan bajet 2005, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah bin Hj Ahmad Badawi telah menggariskan strategi bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan. Di antaranya ialah dengan memantapkan lagi asas kewangan negara serta menuntut pembaharuan tegas dalam pengurusan kewangan dan perbelanjaan. Beliau juga mengarahkan setiap agensi dan jabatan Kerajaan memberi perhatian lebih teliti dan serius kepada laporan audit oleh Ketua Audit Negara serta bertindak pantas mengambil langkah untuk mengatasi kelemahan yang ada.
Dato’-dato’, Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Dalam kita mengharungi arus pembangunan, tidak dapat tidak kita terus-menerus menghadapi cabaran dan arus perubahan dalam pengurusan kewangan. Cabaran-cabaran ini termasuklah perubahan serta pemodenan dalam sistem kewangan serta survival sesebuah agensi itu sendiri. Di antara perubahan yang sering berlaku ialah seperti perubahan dalam piawaian perakaunan, tadbir urus dan juga pembangunan teknologi maklumat. Manakala bagi memastikan survival, sesebuah agensi hendaklah sentiasa ‘energitic’, kreatif dan innovatif dalam mewujudkan sinergi baru. Oleh yang demikian, bertepatan dengan penganjuran persidangan ini maka diharap kita sentiasa kompeten terhadap perkembangan terbaru tersebut bagi memenuhi objektif serta akauntabiliti pengurusan kewangan.
Dato’-dato’, Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Akauntabiliti yang tinggi adalah tunjang kepada pembentukan sebuah pentadbiran yang teguh, cekap dan telus. Dalam hal yang demikian kerajaan sentiasa memandang serius terhadap usaha-usaha ke arah peningkatan kecekapan dan juga ketelusan pengurusan kewangan.
Dato’-dato, Tuan-tuan dan puan-puan,
Kita merasa bertuah kerana dapat menjalinkan kerjasama antara tiga buah agensi dan seterusnya menganjurkan satu persidangan seperti ini. Adalah diharapkan agar persidangan ini merupakan pembuka jalan kepada hubungan yang lebih baik di antara akauntan, pentadbir dan para akademik. Hubungan ini seharusnya disemarakkan dengan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan manfaat bersama seperti penganjuran seminar, bengkel dan yang seumpamanya.
Dato’-dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
Persidangan yang diadakan pada kali ini bukan sahaja bermakna kepada Akauntan dan Pentadbir pihak berkuasa tempatan sahaja, tetapi kepada kita semua yang berada di sini. Ini kerana isu-isu yang bakal dibincangkan adalah merupakan langkah positif ke arah mewujudkan tadbir urus yang baik. Sesungguhnya penglibatan para akademik dalam menghasilkan kajian-kajian adalah amat dialu-alukan bagi mewujudkan kerjasama dan muafakat dalam meningkatkan akauntabiliti sektor awam.
Dato’-dato, Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya bagi pihak penganjur ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penceramah dan ahli-ahli panel yang dapat bersama-sama meluangkan masa untuk berkongsi maklumat dan berbincang berkenaan isu-isu pengurusan kewangan dalam persidangan pada hari ini.
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak Institut Penyelidikan Perakaunan Kerajaan Negeri dan Tempatan, Universiti Utara Malaysia, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan juga Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang bertindak sebagai sekretariat persidangan dan semua ahli jawatankusa atas segala usaha dan kerja keras mereka untuk menjayakan seminar ini.
Semoga segala usaha dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan akan membuahkan hasil seperti yang diharap-harapkan.
Kepada para peserta persidangan, saya ucapkan selamat bersidang dan semoga ilmu yang diperolehi akan memberi manfaat kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian.
Saya juga mendoakan agar usahasama Institut Penyelidikan Perakaunan Kerajaan Negeri dan Tempatan, UUM dan Pihak Berkuasa Tempatan akan berterusan dari semasa ke semasa bagi mencapai kejayaan bersama.
Akhir kata dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim”, saya dengan ini merasmikan Persidangan Akauntan Pihak Berkuasa Tempatan 2004.
Sekian, Wabillahi taufik, walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.