PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
12-Jul-2008HARI : Sabtu
MAJLIS
:
HARI ANUGERAH CEMERLANG 2008
TEMPAT
:
SMK SERI AMPANG, IPOH
ISU
:
ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG



TEKS UCAPAN PENUH :
Yang Mulia Pengerusi Majlis,

Wakil Pegawai Pelajaran Jabatan Pelajaran Perak,

Wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kinta,

Yang Berusaha, Tn. Hj. Muhammad Nawawi b. Yaakob, Pengetua, SMK Seri Ampang.

Yang Dihormati, En. Hamdan Yeob Ismail, Yang Dipertua PIBG, SMK Seri Ampang

Pn. Salmiah bt. Mat Zin, Penolong Kanan Pentadbiran,

Pn. Norfadihilah bt. Sharifuddin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,

En. Khairil Anuar b. Khairuddin, Penolong Kanan Petang,

En. Khairuddin b. Saeran, Penolong Kanan Kokurikulum,

Barisan Pengetua dan Guru Besar,

Para ibu bapa,

Guru-guru dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian.

Salam Sejahtera dan Selamat Pagi

Bersyukur kita kerana pada pagi yang mulia ini dapat kita bersama-sama menghadiri “Majlis Anugerah Cemerlang’, SMK Seri Ampang, Ipoh bagi tahun 2008. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak sekolah menjemput saya menghadiri majlis yang gilang-gemilang ini. Majlis seperti ini amat baik dijadikan sebagai acara tahunan kerana ianya memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik. Selain memberi pengiktirafan, majlis ini juga turut akan menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian masing-masing.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Abad ke 21 ini telah menjanjikan pelbagai kemungkinan kepada kita. Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melahirkan fenomena globalisasi, “Dunia Tanpa Sempadan”. Untuk menikmati kejayaan berterusan dalam persekitaran globalisasi yang mencabar ini, kita perlu menyedia dan melengkapkan diri para pelajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi yang inovatif, memiliki jati diri dan beretika secara berterusan dalam usaha untuk mempertingkatkan keupayaan generasi muda untuk menangani perubahan dan cabaran dengan cekap dan berkesan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Memperkasakan pelbagai ilmu pengetahuan, kebolehan berkomunikasi terutamanya dalam Bahasa Inggeris dan penerapan pelbagai kemahiran dalam kalangan pelajar-pelajar menjadi agenda utama bagi sesebuah sekolah. Walau bagaimanapun, penguasaan ilmu dan berketrampilan sahaja tidak mencukupi seandainya faktor nilai -nilai murni tidak dijadikan pedoman. Nilai-nilai agama dan moral inilah yang akan memberi petunjuk dan pedoman kerana ia terkandung nilai yang baik untuk generasi muda menempuh kehidupan yang penuh cabaran.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Pembangunan modal insan ini perlu dirancang teliti dengan mengambil kaedah menyeluruh dan bersepadu. Segala bakat dan potensi para pelajar dapat dibangunkan dengan efektif. Dengan ini, SMK Seri Ampang, Ipoh akan dapat melahirkan generasi pewaris kepemimpinan negara yang memiliki idea, mencakupi pelbagai rutin kehidupan, berketrampilan dalam pelbagai bidang, kritis dan kreatif sekaligus kontruktif. Hal ini berkadar langsung dengan Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) oleh Perdana Menteri pada bulan Januari, 2007.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata-mata, sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual, mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketrampilan, patriotik dan tidak bersikap individualistik malah mampu memainkan peranan dalam masyarakat. Usaha ini selaras dengan dua daripada enam teras strategik PIPP iaitu, Membina Negara Bangsa dan Membangunkan Modal Insan. PIPP merupakan wadah terbaik sebagai anjakan paradigma sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih cemerlang pada peringkat tempatan dan global, sekaligus sebagai pemangkin kepada wawasan kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Dengan adanya gandingan mantap antara pihak sekolah dengan pihak ibu bapa akan menjadikan SMK Seri Ampang, Ipoh lebih beraspirasi untuk meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar agar terus cemerlang serta dapat meningkatkan penglibatan dan rasa kepunyaan ibu bapa serta komuniti terhadap sekolah ini. Hubungan rapat dan mesra ini akan meningkatkan iklim pembelajaran yang kondusif yang faedahnya akan dinikmati oleh para pelajar.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah yang telah menganjurkan majlis anugerah ini dengan jayanya. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga SMK Seri Ampang, Ipoh kerana telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah bagi tahun 2007 / 2008. Harapan saya agar sekolah ini akan terus mencipta dan mengukir kejayaan dalam semua bidang yang sedang dan yang akan diceburi. Dengan sukacitanya, saya merasmikan ‘Majlis Anugerah Cemerlang’ SMK Seri Ampang, Ipoh bagi tahun 2008.

Sekian, terima kasih.