PENYAMPAI
:
KETUA PENGARAH JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIAKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
28-Aug-2001HARI : Selasa
MAJLIS
:
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN MS ISO 9002 JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT NEGERI SELANGOR DAN PENYAMPAIAN PINGAT KEBESARAN JABATAN
TEMPAT
:
KELAB GOLF SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH, SHAH ALAM, SELANGOR DARUL EHSAN
ISU
:
BOMBA DAN PENYELAMAT



TEKS UCAPAN PENUH :

3

Bismilahirrohmanirohim,
Assalamualaikum dan Selamat Pagi
Saudara Pengacara Majlis,

YAS Timbalan Pesuruhjaya,
Dato’ Hamzah Bin Abu Bakar,
Timbalan Ketua Pengarah Operasi,

YS Pem. Timbalan Pesuruhjaya Zaharuddin bin Hj.Hassan,
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Malaysia Negeri Selangor

YS Penolong-Penolong Ketua Pengarah,
Jabatan Bomba dan Penyelamat, Malaysia

YS Pengarah-Pengarah Jabatan Bomba Negeri,

Pegawai-Pegawai Kanan,
Jabatan Bomba dan Penyelamat, Malaysia

Dif-Dif jemputan, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.


Syukur kita kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan izinnya dapat kita sama-sama berkumpul pada pagi yang berbahagia ini dalam satu majlis yang saya anggap agak unik kerana dalam majlis ini terdapat dua aktiviti yang besar iaitu Pelancaran MS ISO 9002 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor dan Penyerahan Pingat Kebesaran Bomba. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan tahniah kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor kerana telah berusaha bersungguh-sungguh dan telah mengorak selangkah lagi pada hari ini dengan termeterainya akujanji untuk menerapkan MS ISO 9002 dalam sistem pengurusan di jabatan ini.

Adalah menjadi hasrat kerajaan menjadikan setiap agensi perkhidmatan awam memiliki sistem pengurusan yang cekap dan efisen dan mengutamakan hasil kerja yang bermutu tinggi serta mengutamakan kehendak-kehendak pelanggan. Untuk itu, pentadbiran negara telah mensasarkan menjelang akhir tahun ini, keseluruhan 781 agensi kerajaan perlu mendapatkan pengiktirafan persijilan MS ISO 9000. Berdasarkan perangkaan setakat ini, sebanyak 220 agensi kerajaan telah berjaya memperolehi sijil berkenaan.

Hadirin yang dihormati sekalian

Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program bagi tujuan meningkatkan kualiti dalam perkhidmatan awam. Program-program tersebut dirangka bagi meletakkan perkhidmatan pelanggan berada pada tahap yang cemerlang. Antara program yang telah diperkenalkan untuk mencapai matlamat tersebut termasuklah Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja, Peningkatan Kualiti Perkhidmatan Kaunter, Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja, Sistem Perakaunan Mikro, Pengurusan Kualiti Menyeluruh dan Piagam Pelanggan. Program-program yang telah diperkenalkan ini telah berjaya meningkatkan keupayaan agensi-agensi kerajaan dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggannya. Pelaksanaan program-program ini juga telah menyediakan asas bagi membentuk satu sistem pengurusan berkualiti dalam perkhidmatan awam. Sesungguhnya pencapaian agensi-agensi perkhidmatan awam pada masa kini berada pada tahap yang memberangsangkan. Namun masih terdapat ruang yang boleh dilakukan untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan yang sedia ada. Selaras dengan itu, kerajaan telah menetapkan bahawa telah sampai waktunya bagi setiap agensi-agensi kerajaan mengimplementasikan satu sistem pengurusan yang berkualiti yang berlandaskan standard atau piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dalam hal ini, kerajaan telah menetapkan agar semua agensi-gensi kerajaan perlu mencapai taraf MS ISO 9000 dalam usaha memantapkan lagi sistem pengurusan kualiti yang sedia ada.

Hadirin yang dihormati sekalian

MS ISO 9000 adalah satu piawaian yang berdokumen dan bertulis yang menyenaraikan elemen asas yang perlu ada dalam sistem kualiti sesebuah organisasi bagi mempastikan perkhidmatan yang diberikan dapat memenuhi kehendak pelanggan. Pada amnya, pelaksanaan MS ISO 9000 adalah bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan organisasi melaksanakan MS ISO 9000 sebelum pelanggan bersedia untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh sesebuah agensi disamping dijadikan sebagai blueprint untuk penambahbaikan dan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan organisasi tersebut.


Memandangkan usaha-usaha ke arah memperolehi sijil MS ISO bukanlah kerja yang mudah, oleh itu saya menyeru kepada semua lapisan kakitangan jabatan ini agar mempersiapkan diri dan memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap usaha ini agar cita-cita menjadikan jabatan ini sebuah organisasi kebombaan bertaraf dunia dapat direalisasikan.

Jabatan sedar tuan-tuan dan puan-puan dalam memberikan perkhidmatan kebombaan dalam keadaan tertekan dalam berbagai aspek, namun segala pengorbanan dan tenaga yang tuan-tuan dan puan-puan curahkan kepada jabatan tidak akan diabaikan. Apa yang ingin saya jelaskan disini adalah “If you are good, you have to be rewarded-but keep up the good work forever at par”. Untuk itu tuan-tuan dan puan-puan hendaklah mengekalkan tahap disiplin dan produktiviti sentiasa pada tahap yang terbaik. Dalam konteks ini suka saya menasihati agar jauhikanlah diri tuan-tuan dan puan-puan daripada kegiatan yang tidak sihat umpamanya masalah dadah, rumahtangga bermasalah, surat layang serta membuat kenyataan media yang tidak sehaluan dengan dasar jabatan. Perbuatan seumpama ini, secara tidak langsung akan menjejaskan reputasi dan imej jabatan. Sebenarnya jabatan mempunyai saluran tertentu untuk menyampaikan keluhan, pergunakan saluran tersebut dengan bijak dan waras untuk kepentingan kita bersama.

Sesungguhnya jabatan tidak akan mengabaikan kebajikan pegawai dan anggotanya. Usaha-usaha untuk memperkemaskan dan membangunkan balai-balai dan kuarters akan terus menjadi agenda utama jabatan ini untuk memberi keselesaan kepada kakitangan di jabatan ini. Pada tahun ini kerajaan telah meluluskan anggaran perbelanjaan pembangunan sebanyak
RM 188.8 juta dan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM 357.997 juta. Peruntukan kewangan ini bertambah 50 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini menunjukkan keprihatinan dan pengiktirafan kerajaan kepada jabatan ini secara keseluruhannya.
Hadirin yang dihormati sekalian

Pada pagi yang bersejarah ini , saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai yang akan menerima Anugerah Pingat Kebesaran Jabatan. Sesungguhnya pegawai dan anggota yang telah memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang akan sentiasa menjadi perhatian jabatan ini. Tidak dilupakan kepada pegawai dan anggota yang telah memasuki persaraan wajib saya ucapkan selamat bersara, sesungguhnya jabatan tidak melupakan jasa yang tuan-tuan berikan dalam jabatan ini.

Akhir kata saya mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YS Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Negeri Selangor kerana akan melaksanakan satu lagi tugas dan tanggungjawab yang besar dan penuh cabaran demi untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan jabatan yang kita cintai ini.
Sekian. Wabillahhi taufik walhidayah Assalamualaikum W.B.T