PENYAMPAI
:
TIMBALAN MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
10-Oct-2005HARI : Isnin
MAJLIS
:
PELANCARAN SEMINAR SEHARI DAN KEMPEN KEBERSIHAN
BERSAMA KETUA DAERAH, KETUA ANAK NEGERI, WAKIL KETUA
ANAK NEGERI, KETUA KAMPUNG DAN KETUA MASYARAKAT CINA
TEMPAT
:
DEWAN MASYARAKAT KUALA PENYU
ISU
:
KEMPEN KEBERSIHAN



TEKS UCAPAN PENUH :

Assalamualaikum W.B.T. dan salam sejahtera.

Yang dimuliakan Saudara Pengerusi Majlis


Y.B. Tuan Haji Mohamad Arifin Haji Arif
Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah

Y. Bhg. Datuk Haji Ujang Haji Sulani
Setiausaha Tetap
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah


Yang Berusaha
Saudara Hasbi Gafar
Pegawai Daerah Kuala Penyu

Para jemputan khas, seterusnya tuan-tuan/Ketua Daerah/ Ketua-ketua Anak
Negeri/Ahli-ahli UMNO Bahagian Daerah

Kuala Penyu/ahli-ahli komponen BN/ahli-ahli NGO/Wakil-wakil Ketua Anak Negeri
dan Ketua-ketua Kampung bagi Kawasan Parlimen dan daerah, Daerah Kuala
Penyu selaku para peserta seminar sekalian.

Pertama-tamanya, dalam kesempatan ini, saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran
kepada Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat saya julung-julung kalinya
hadir bersama tuan-tuan/puan-puan di dalam majlis yang sangat bermakna ini iaitu
Seminar Sehari “Desaku Bersih, Hidupku Aman”, Siri 24/2005 bagi Kawasan Daerah
Kuala Penyu dengan asas terma “Ke arah Sabah yang bersih dan indah permai”
anjuran Majlis/Pejabat Hal Ehwal Negeri Sabah dengan kerjasama pejabat/Majlis
Daerah Kuala Penyu pada hari ini.

Saya sangat berterima kasih kepada pihak MAHINS kerana memberikan kepercayaan
kepada saya untuk memberikan ucapan dan seterusnya merasmikan seminar sehari
ini, yang pada pendapat saya sangat kena pada tempat dan masanya. Saya katakan
begitu atas kesedaran bahawa sebelum ini saya memang maklum seminar-seminar
yang melibatkan tuan-tuan selaku Ketua-ketua Daerah, Ketua-ketua Anak Negeri,
Wakil-wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-ketua Kampung serta para ahli parti khususnya,
biasanya hanya kursus berkaitan dengan kerjaya tuan-tuan sebagai pemimpin masyarakat
di peringkat akar umbi.

Jadi pada hari ini, memang sangat kena pada masanya jika tuan-tuan selaku Ketua-ketua
Daerah, Ketua-ketua Anak Negeri, Wakil-wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-ketua Kampung,
dan digandingi oleh rakan-rakan kita khususnya para ahli parti komponen BN khususnya
UMNO, dapat dirangkumkan dan disatukan di dalam satu seminar seperti hari ini, supaya
usaha dan matlamat kita untuk berusaha memantap dan mempertajamkan kefahaman
tentang isu-isu penting kepada para peserta khususnya tuan-tuan dan puan-puan sendiri,
akan lebih fokus, lebih tertumpu dan lebih mudah. Keadaan ini sekaligus dapat memudahkan
pencapaian matlamat asas untuk mengadakan seminar ini.

Di pihak tuan-tuan/puan-puan semua, saya fikir keadaan ini juga merupakan peluang
yang terbaik untuk tuan-tuan/puan-puan menyuarakan perkara-perkara yang belum jelas,
dan terpentingnya barangkali ialah tuan-tuan dan puan-puan dapat bertemu Kerajaan
khususnya, untuk menjayakan matlamat Seminar ini.

Perkara ini penting kerana, ramai orang boleh bercakap berhujah dan sebagainya. Namun,
di akhirnya nanti, kita mesti juga wajar mengetahui apakah yang kita cakapkan, hujahkan
yang merupakan sesuatu yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat di mana kita
sampaikan masej itu, atau sekadar kata-kata biasa sepertimana bualan kedai kopi dan
sebagainya.

Justeru, seminar seperti ini memang penting dalam usaha kita untuk memberikan kefahaman
serta memperdalamkan peri pentingnya pengetahuan tentang isu-isu semasa, isu-isu yang
bukan sahaja melibatkan perkara pokok dalam kehidupan seharian kita iaitu isu kebersihan
dan kecantikan alam sekitar, kebersihan pantai, kawasan pekan, kawasan rumah, yang
penting sekali ialah kesedaran untuk menjadikan nilai-nilai penjagaan diri, keluarga,
masyarakat dan alam sekitar sekitar itu menjadi satu amalan dan agenda hidup kita setiap
hari.

Tuan-tuan/puan-puan sekalian,

Tidak lama dahulu, dan bahkan setiap hari pun kita sering mengikuti laporan dalam media
massa, bahawa umumnya negeri kita ini, khususnya daerah ini memang masih kurang bersih
dan kurang memuaskan dari segi penjagaan alam sekitarnya. Longgokan sampah di mana-
mana, di halaman rumah, di sepanjang jalan keretapi, di sepanjang kiri kanan lebuh raya KK-
Kuala Penyu ini, dan sebagainya, boleh kita katakan, sampah sarap sudah seperti menjadi
perkara biasa. Ianya membayangkan seolah-olah semacam kita tidak mengambil peduli. Jika
ada tergerak hati hendak mengambil tahupun, mungkin kita cepat-cepat mengatakan bahawa
pihak Majlis Daerah Kuala Penyu sepatutnya mengambil tugas itu, dan bukannya kita.

Maknanya, hakikat sampah sarap itu sebagai sebahagian daripada hiasan pandangan mata kita
sehari-hari, sudah tidak menjadi lumrah. Masalahnya jika tidak kita tangani keadaan ‘sudah
terbiasa ini’ dengan wajar dan bermula daripada sekarang, maka kita jugalah yang senantiasa
berhadapan dengan masalah seumpamanya. Umpama bayang-bayang kita, ia tidak akan
lari daripada kita. Ke mana kita pergi, ia ada. Kalau tidak ke mana-mana, maka ia akan tetap
ada di sekitar kita.

Pokoknya, ia akan senantiasa membayangi kita sepanjang masa, dan akhirnya, tidak mustahil
sekiranya pada suatu hari kelak, kita mungkin akan terkambus dalam timbunan sampah sarap
itu sendiri, sama ada secara kita sedari atau tidak. Betapa tidak, sekiranya kita sudah terbiasa
dengan keadaan kotor ini, maka tidak dapat tidak kita akan menerimanya sebagai sebahagian
daripada kehidupan kita, sedangkan orang lain yang bencikan kekotoran, akan menjauhkan diri
dari kita.

Akhirnya, kita akan bergelumang dengan masalah kesihatan dan sebagainya, dan lambat laun
kita juga akan dihindari, seterusnya, kita akan kehilangan harga diri sebagai manusia yang punya
martabat dan peradaban yang tinggi. Justeru, walau apapun masalahnya, usaha pembasmian
gejala sampah sarap ini perlu kita perangi bersama-sama.

Namun begitu, saya sedar bahawa, walaupun pelbagai usaha pro-aktif untuk mengatasi masalah
kekotoran ini telah dijalankan oleh pihak Pejabat Daerah dan Majlis Daerah serta pelbagai pihak
badan baik kerajaan mahupun bukan kerajaan ataupun NGO, namun keadaan kebersihan sekitar
kampung, bandar, malah Sabah ini secara umumnya, tetap dan masih jauh daripada memuaskan.
Bak kata orang, masih banyak yang perlu kita lakukan untuk mencapai matlamat “Ke arah Sabah
yang bersih dan indah permai”. Pokoknya, kita jangan mengaku kalah. Tak hari ini, esok, lusa,
atau pun tulat kita usahakan kempen kebersihan ini.

Hanya dengan berbuat sedemikian maka kesedaran terhadap kebersihan diri dan alam sekitar ini
akan mendapat tempatnya dalam hati sanubari masyarakat.

Kerana itu, kita di pihak kerajaan memang akan senantiasa berusaha dari masa ke masa untuk
mengambil apa saja tindakan yang wajar, melakukan apa saja yang kita fikir baik untuk kita
lakukan, agar semua yang kita rancang, baik dalam tindakan dan malah dalam kursus ini sekalipun,
tidak lain dan tidak bukan, semata-mata untuk memberikan sesuatu yang terbaik kepada negeri
Sabah amnya, dan Daerah Kuala Penyu khasnya supaya bukan saja ia bersih dan menarik, malah
dapat mengimbau kunjungan masyarakat luar khususnya pelancong luar negeri untuk datang
berkunjung ke negeri dan kawasan kita, khususnya Daerah Kuala Penyu dan Sabah amnya.

Apa lagi dengan kedudukan Daerah Kuala Penyu sekarang, yang hanya sebagai Pekan
persingahan terutamanya bagi para pelancong luar khususnya daripada Brunei dan Sarawak
atau Labuan. Sesuai dengan itu, usaha kita harus dilebihkan supaya para pelancong ini,
bukan hanya setakat singah untuk satu atau dua jam, malah mungkin berminat untuk tinggal
lebih lama, khususnya untuk menikmati keindahan pantai-pantai kita yang umumnya memang
cantik dan menarik.

Dengan usaha seumpamanya, bukan hanya pelancong boleh menikmati keindahan dan kecantikan
bumi Kuala Penyu, malah orang Kuala Penyu sendiri boleh memikirkan peluang-peluang perniagaan
yang berkaitan seperti rumah-rumah tumpangan Homestay, hotel, resort dan sebagainya. Namun,
sekiranya kita meneruskan keadaan yang umumnya kurang memuaskan ini, maka usaha-usaha itu
akan hampa semata-mata.

Kerana itu, pada seminar sehari ini saya ingin agar pihak tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
didedahkan dan diberi penjelasan sebaik-baiknya tentang isu-isu penting yang melibatkan
isu-isu kesejahteraaan rakyat seperti pemuliharaan alam sekitar dan seterusnya peranan
masyarakat kampung dan desa serta penduduk bandar di mana yang berkenaan, supaya
tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja tahu apa yang patut dilakukan selepas ini, malah
dapat memanjangkan apa juga yang tuan-tuan dan puan-puan perolehi daripada seminar
ini kepada rakan-rakan dan sebagainya, demi menjaga kebersihan daerah kita khasnya, dan
Sabah ini amnya.

Perkara ini sangat penting memandangkan tuan-tuan dan puan-puan semua adalah “pemimpin
akar umbi” yang sebenar-benarnya dalam ertikata sebagai mata dan telinga, sebagai kakitangan
kerajaan, dan yang terpentingnya ialah, sebagai benteng kukuh dalam mempastikan kewibawaan
dan kesinambungan keutuhan pemerintahan kerajaan yang kita dokong sekarang, iaitu Kerajaan
Barisan Nasional negeri akan terus mendapat tempatnya yang wajar di mata dan hati rakyat yang
cintakan dan dahagakan kemajuan.

Tuan-tuan/puan-puan sekalian

Slogan yang sering diulang-ulang oleh kepimpinan negara kita iaitu “cemerlang, gemilang dan
terbilang” sememangnya bukan cakap-cakap kosong semata-mata. Ia bukan slogan politik
semata-mata untuk menawan hati rakyat. Ini penting kerana jika kita cemerlang saja, tetapi
tidak terbilang, maka apa yang kita capai itu umumnya dapat disifatkan sebagai perkara biasa,
kerana setiap orang memang bercita-cita dan memang berusaha untuk cemerlang. Bagaimanapun,
usahanya mungkin tidak semestinya menekankan soal keterbilangannya dalam sesuatu bidang itu.
Namun, jika kita dapat menjadikannya suatu pendekatan yang kita amalkan setiap hari dalam
kehidupan kita, dan kita satukan ia sekaligus dalam setiap usaha kita sehari-hari, maka tidak
dapat tidak, kita, atau kampung kita, daerah kita, negeri kita dan terpentingnya negara kita ini,
akan pasti terkenal di mata dunia. Ini sekaligus meletakkan nama kita dan negeri/negara kita
terpahat di dalam peta kejayaan terbilang dunia untuk suatu jangkamasa yang lama.

Apatah lagi dalam soal kebersihan yang sekarang ini menjadi agenda utama setiap daerah bahkan
Kerajaan negeri, kita mesti serius dan bekerjasama secara bijaksana. Mudah-mudahkan usaha kita
untuk menjadikan negeri kita Sabah ini negeri yang cantik dan bersih, akan dapat kita jayakan
sebaik-baiknya. Sebenarnya, inilah antara mesej dan matlamat utama Y.A.B. Ketua Menteri yang
telah memulakan pelancaran kempen kebersihan peringkat negeri di Tuaran pada 7 Mac, lalu.

Akhir kata dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Pelancaran Seminar Sehari dan
Kempen Kebersihan bersama Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua
kampung dan Ketua Masyarakat Cina.

Sekian, terima kasih.