PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
28-Mar-2005HARI : Isnin
MAJLIS
:
MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT JAWATANKUASA PERUNDING PERBADANAN-PERBADANAN MALAYSIA (JKPPP) BIL.1/2005
TEMPAT
:
ROYAL ADELPHI HOTEL, SEREMBAN
ISU
:
KERAJAAN TEMPATAN



TEKS UCAPAN PENUH :

Selamat pagi dan salam sejahtera,

Y.Bhg. Dato’ Lokman Hakim bin Mohd. Jasan,
Ketua Setiausaha,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

YB. Dato’ Hamzah bin Ghazali,
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

YB. Dato’ Woo Ah Lek,
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan dan
Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.

YB. Dato’ Peter Lai Yit Fee
Ahli EXCO Negeri Sembilan.

YB. Saudari Yu Chok Tow
Ahli EXCO Negeri Sembilan.

Y.Bhg. Encik Abdul Halim bin Abd. Latif,
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban.

Y.Bhg. Wakil Kerajaan Negeri, Datuk Bandar,
Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan para jemputan

Dato’-Dato’,Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat SUK Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Seremban di atas persiapan yang telah diambil bagi menjayakan Mesyuarat JKPPP Bil.1/2005 ini. Saya juga mengalu-alukan kehadiran semua ahli mesyuarat yang terdiri daripada wakil dari Pejabat SUK Negeri, Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Setiausaha PBT serta para jemputan yang lain.

Saya difahamkan 5 kertas kerja dan 1 kertas makluman akan dibentangkan dalam mesyuarat kali ini. Di majlis perasmian ini saya ingin mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan dasar yang menyentuh tentang peranan dan tanggungjawab PBT dalam menangani isu-isu semasa yang menarik perhatian Jemaah Menteri khususnya.

Mesyuarat JKPPP ini merupakan mesyuarat yang penting kerana ia menghimpunkan semua wakil Kerajaan Negeri serta Datuk dan Yang Dipertua PBT yang bertaraf Bandaraya dan Perbandaran. Ini membolehkan Kementerian menyampaikan beberapa perkara dasar yang melibatkan PBT khususnya dalam menangani isu-isu perbandaran.

Dato’-Dato’,Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

I. Keputusan Terkini Yang Melibatkan PBT

1. Pembangunan Yang Tidak Terkawal

Projek pembangunan yang tidak terkawal di kawasan Seksyen U10, Bukit Cerakah, Shah Alam telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini. Ia juga telah mendapat liputan yang meluas sekali di media massa dan menggambarkan seolah-olah PBT tidak sensitif dengan pencemaran alam sekitar. Pembangunan tersebut telah bermula walaupun kebenaran merancang atau kelulusan kerja tanah belum diberi dan ia telah memusnahkan ekologi Taman Pertanian, Bukit Cahaya, Shah Alam di mana terdapat tumbuh-tumbuhan hutan yang amat bernilai musnah.

Ekoran daripada kejadian tersebut Y.A.B Perdana Menteri sempena merasmikan Hari Landskap Negara 2005 pada 3 Mac 2005 yang lalu telah membuat 4 keputusan bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan kepada alam sekitar seperti berikut:

(i) Laporan EIA diwajibkan bagi kawasan 20 hektar berbanding sebelum ini seluas 50 hektar. Jika terdapat pecahan kawasan kurang 20 hektar secara berturutan yang hendak dimajukan maka laporan EIA diwajibkan bagi keseluruhan kawasan tersebut;

(ii) Semua kawasan pembangunan dengan keluasan 40-80 hektar yang telah dibersihkan tetapi tidak dimajukan hendaklah diserahkan semula kepada Kerajaan. Kerajaan akan membayar balik kos yang ditanggung oleh pemilik tanah dan ia akan dibangunkan sebagai taman rekreasi untuk penduduk setempat;

(iii) Pokok-pokok bersaiz dengan diameter 15-20.32 sentimeter (6-8 inci) tidak boleh ditebang. Jabatan Perhutanan dan agensi-agensi berkaitan akan menandakan pokok-pokok yang tidak boleh ditebang sekiranya kawasan itu hendak dibangunkan;dan

(iv) Semua undang-undang dan peraturan berkaitan alam sekitar dikuatkuasakan sepenuhnya. Penguatkuasaan diketatkan dan pihak berkuasa jangan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang tersebut.

Dengan berkuatkuasanya keempat-empat keputusan ini maka PBT sebagai salah satu agensi penguatkuasa yang terlibat hendaklah mengambil tindakan yang perlu untuk memantau serta sentiasa memastikan pemaju telah mengikut semua kehendak undang-undang dan peraturan apabila sesebuah pembangunan hendak dijalankan.

Pihak JPBD akan membentangkan kertas berhubung isu tersebut dalam mesyuarat JKPPP ini dan Kementerian berharap semua PBT dapat menjadikan ia sebagai panduan bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan. Kerajaan juga telah memutuskan supaya semua pegawai teknikal PBT mengikuti kursus khas berkenaan pembangunan di kawasan bukit yang akan dianjurkan oleh Kementerian kelak. Diharapkan kursus tersebut mendapat penyertaan yang baik dari PBT.

2. Penggantian Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) dengan Sijil Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance – CCC)

Jemaah Menteri pada 9 Mac 2005 telah memutuskan agar CFO yang dikeluarkan oleh PBT diganti dengan CCC ataupun Certificate of Completion & Compliance yang akan dikeluarkan oleh para professional seperti arkitek dan jurutera. Pihak JKT akan membentangkan kertas mengenainya dalam mesyuarat ini. Kementerian telah mewujudkan kumpulan kerja khas yang melibatkan beberapa sesi perundingan bersama stake holders seperti PBT, Badan Professional dan NGO. Buat masa ini, kumpulan kerja tersebut sedang menyediakan garis panduan dan cadangan meminda Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) untuk disesuaikan dengan arahan baru ini. Dijangkakan ia akan disiapkan pada akhir tahun ini dan road show akan dianjurkan oleh Kementerian untuk menjelaskan konsep dan tatacara pelaksanaan peraturan baru ini.

3. Penyampaian Khidmat Awam di PBT

3.1 One Stop Center (OSC)

OSC telah dilaksanakan sejak Januari 2004 dan Kementerian telah menerima maklumbalas dari semua PBT yang menyatakan bahawa ia telah dilaksanakan. Bagaimanapun hasil pemantauan Bahagian Pemantauan JKT mendapati ia tidak dilaksanakan sepenuhnya dan terdapat PBT yang tidak mengikut garispanduan yang ditetapkan. Hanya 50% sahaja PBT yang mengemukakan maklum balas berhubung status pelaksanaan OSC. Kementerian perlu mendapat maklumbalas sebenar berhubung keberkesanannya agar penambahbaikan boleh diambil. Kementerian juga akan mendapatkan maklumbalas dari pemohon dan pemaju berhubung pelaksanaan OSC ini.

OSC hendaklah diberi perhatian oleh PBT kerana ia merupakan salah satu usaha dicadangkan oleh Kerajaan untuk meningkatkan lagi kecekapan pemberian perkhidmatan awam serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Y.A.B Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bercadang melawat PBT terpilih untuk meninjau keberkesanannya. Oleh itu PBT yang masih tidak melaksanakan OSC sepenuhnya adalah diminta untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat Kementerian.

3.2 Laporan Penambahbaikan Pengurusan PBT

Kementerian ini dengan kerjasama INTAN telahpun menyediakan Laporan Penambahbaikan Pengurusan PBT dan laporan tersebut telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan MNKT Ke-52 yang lalu. Objektif utama penyediaan laporan tersebut adalah untuk mengenalpasti langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil bagi meningkatkan lagi kecekapan pemberian perkhidmatan PBT. Setiap Kerajaan Negeri telah diminta untuk menerimapakai dan melaksanakan 64 perakuan yang terkandung dalam laporan berkenaan. Kementerian ini sedang mengumpul maklumat berhubung status pelaksanaannya bagi tujuan penyediaan nota kabinet. Diharapkan setiap Kerajaan Negeri dapat memastikan PBT masing-masing telah mengemukakan maklumat tersebut agar nota kabinet dapat disediakan dengan sempurna.

4. Usaha Menangani Wabak Denggi

Sejak kebelakangan ini kes wabak denggi begitu membimbangkan di mana 80% daripadanya berlaku di kawasan bandar dan ini sudah pasti melibatkan PBT khususnya di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Pulau Pinang. Sehingga 12 Mac 2005, terdapat 2292 kes demam denggi dan 38 kes demam denggi berdarah telah disahkan. Daripada jumlah tersebut 4 kematian akibat denggi. Meskipun berlaku pengurangan kes dalam minggu ke-9 dan ke-10 pada tahun 2005 ini, PBT perlu meneruskan tindakan untuk menangani wabak denggi ini.

Sehubungan dengan itu Kementerian berharap agar setiap arahan yang telah dikeluarkan kepada PBT bagi menangani wabak denggi ini perlu dilaksanakan sepenuhnya agar kadar kes dapat dikurangkan. Baru-baru ini Kementerian telah meminta setiap Negeri dan PBT menubuhkan Jawatankuasa Menangani Wabak Denggi agar tindakan dapat diambil dengan lebih berkesan dan bersepadu. Usaha untuk memusnahkan tempat pembiakan jentik-jentik aedes merupakan langkah yang paling berkesan dan tempat-tempat yang perlu diberi tumpuan adalah kawasan tapak pembinaan, projek terbengkalai dan di kawasan kilang-kilang.

PBT juga mestilah mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di kawasan-kawasan tapak pembinaan dengan menutup tapak binaan berkenaan sekiranya didapati membiak jentik-jentik Aedes serta mengenakan kompaun ke atas pihak yang menyebabkan pembiakan jentik-jentik Aedes. Selain itu PBT juga perlu mendapatkan kerjasama dengan agensi Kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat setempat dengan mengadakan gotong royong dan ceramah bagi membolehkan pencegahan dan pengawalan bersepadu.


II. Lain-Lain Keputusan Yang Melibatkan PBT

5. Penanaman Bunga Raya di Seluruh Negara

Kerajaan mendapati penanaman bunga raya sebagai bunga kebangsaan tidak meluas di negara ini. Oleh itu Kerajaan telah memutuskan penanamannya digalakkan bagi mewujudkan satu lambang dan kebanggaan kebangsaan. Bagi melaksanakan keputusan ini beberapa langkah telah dikenalpasti untuk dilaksanakan. Antaranya adalah penanaman di kawasan protokol, mengadakan taman baru yang berkonsepkan bunga raya, mengadakan kaedah-kaedah baru dari segi penanaman dan persembahan khususnya di kawasan yang menjadi tarikan pelancong dan memastikan rekabentuk penanaman bersesuaian dengan fungsi ruang. Jabatan atau Bahagian Landskap PBT perlu memainkan peranan aktif dalam melaksanakan arahan ini agar status bunga raya sebagai bunga kebangsaan dapat ditonjolkan.

6. Pemasangan Papan Tanda Tunjuk Arah Ke Destinasi Pelancongan Utama

Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-96 pada 15 Mac 2005 yang lalu mengambil maklum cadangan Kementerian Pelancongan yang telah melantik satu syarikat swasta iaitu Extreme Effect Sdn. Bhd. bagi memasang papan tanda tunjuk arah ke destinasi pelancongan utama secara percuma di jalan raya persekutuan dan dalam kawasan PBT. Sebagai ganjaran, Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada syarikat tersebut untuk mempamer iklan pada papan iklan berkenaan. Sehubungan ini, PBT diminta memberi kerjasama kepada syarikat tersebut dalam memproses permohonannya dengan mengambilkira undang-undang kecil dan peraturan yang digunapakai.

7. Pemasangan Menara Telekomunikasi oleh syarikat “SBC” (State Backed Company)

Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi (KTAK) telah melaporkan dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 15 Mac 2005 bahawa semua Kerajaan Negeri telah diarah untuk melantik satu syarikat SBC bagi merancang dan membina menara telekomunikasi untuk disewa kepada TELCOS. Tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi dapat diberi dan diterima oleh pengguna di seluruh Malaysia pada tahap yang memuaskan. PBT turut diminta memberi kerjasama kepada syarikat tersebut dengan mengambilkira undang-undang kecil dan peraturan yang digunapakai.


8. Strategi Pembasmian Kemiskinan Bandar

Kementerian telah diberi peranan untuk mengatasi masalah kemiskinan bandar ataupun urban poverty berikutan penyusunan semula Kabinet pada 27 Mac 2004 yang lalu. Kementerian menjadi agensi penyelaras bagi pelaksanaan program kemiskinan bandar dan sehubungan dengan itu Bahagian Sejahtera Bandar telah diwujudkan di Kementerian sebagai unit yang bertanggungjawab merealisasikan teras pembasmian kemiskinan bandar yang telah digariskan oleh Kerajaan. Antara tindakan yang telah diambil adalah sesi percambahan fikiran dengan pihak-pihak yang berkaitan, mengadakan Rancangan Strategik Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, bancian profil isi rumah secara perintis di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya serta Garis Panduan Tindakan Pembasmian Kemiskinan Bersepadu. PBT diminta membantu menjayakan program pembasmian kemiskinan bandar ini dengan mengumpulkan data berhubung isi rumah miskin dan miskin tegar dalam kawasan PBT serta peta kawasan kemiskinan melalui Jawatankuasa Tindakan Pembasmian Kemiskinan Kawasan. Setiap maklumat tersebut hendaklah dikemukakan kepada pihak Kementerian.


9. Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan

Isu pemasangan papan iklan di premis perniagaan sering dibangkitkan kerana ketidakseragaman peraturan mengenainya di PBT. Ia menimbulkan masalah kepada peniaga dan syarikat dalam usaha untuk memperkenalkan jenama, barangan serta produk perniagaan mereka. Bagi menangani masalah ini, Kementerian telahpun menyediakan garis panduan baru yang mudah dan jelas . Ia telahpun dipersetujui oleh Jemaah Menteri dan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT). Garis panduan tersebut telahpun dipanjangkan kepada semua Kerajaan Negeri serta Mesyuarat Jawatankuasa Persyarikatan Malaysia baru-baru ini. Sehubungan dengan itu Kementerian meminta PBT menerimapakai garis panduan berkenaan dan berharap tidak lagi timbul isu mengenainya.


10. Kempen Amalan Budi Bahasa

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni telahpun dilancarkan oleh Y.A.B Perdana Menteri pada 11 Januari 2005 yang lalu yang bertujuan untuk meningkatkan pengamalan nilai-nilai murni serta kesantunan budi bahasa di kalangan masyarakat di negara ini. Perkhidmatan kaunter merupakan barisan hadapan di PBT yang boleh mengukur kecekapan sesebuah PBT dalam memberikan perkhidmatannya.

Baru-baru ini Kerajaan telahpun mengeluarkan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA Bil.1/2005 : Panduan Bagi Mewujudkan Pejabat Perkhidmatan Pelanggan Di Agensi Kerajaan. PKPA ini menjadi panduan kepada setiap agensi Kerajaan untuk mewujudkan Pejabat Perkhidmatan Pelanggan yang antara lainnya berfungsi untuk mengurus panggilan telefon, melayani pelanggan yang berurusan, membantu menyelesaikan masalah pelanggan serta menguruskan maklumat pelanggan. Setiap PBT adalah diminta untuk mewujudkan Pejabat Perkhidmatan Pelanggan selaras dengan PKPA ini. Kementerian percaya pelaksanaannya dapat membantu PBT meningkatkan perkhidmatannya kepada pelanggan.

11. Anugerah Perdana PBT Bagi Tahun 2005

Pihak MAMPU telah memperkenalkan satu anugerah, iaitu Anugerah Perdana PBT (APPBT) pada tahun 2003 yang bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada PBT yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang dan usaha gigih dalam menjayakan pengurusan kualiti. Bagaimanapun sambutan dari 144 PBT seluruh negara bagi menyertai anugerah tersebut agak mengecewakan di mana pada tahun lepas hanya 4 buah PBT sahaja yang mengemukakan penyertaan. Kementerian berpandangan penyertaan PBT dalam anugerah tersebut penting kerana PBT boleh memperbaiki mutu perkhidmatannya agar setiap kriteria penyertaan dipenuhi dan sekaligus dapat meningkatkan lagi imej PBT. PBT yang telah memenangi anugerah tersebut boleh menjadi contoh ataupun benchmarking kepada PBT lain.

Penyertaan PBT dalam anugerah tersebut bukannya bertujuan untuk membebankan PBT tetapi sebagai galakan supaya dapat PBT melaksanakan usaha peningkatan kualiti dan produktiviti dengan cara yang bersistematik dan berterusan. Melalui anugerah ini juga satu persaingan yang sihat di kalangan PBT ke arah memperbaiki lagi pengurusan dan perkhidmatan dapat diwujudkan. Kementerian amat berharap pada tahun ini anugerah tersebut mendapat penyertaan yang baik di kalangan PBT agar kecemerlangan PBT dapat dipertingkatkan.

Penutup

Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin menegaskan agar setiap isu dan perkara telah dibangkitkan sebentar tadi diambil perhatian yang serius dan seterusnya dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan PBT. Pemberian perkhidmatan yang cekap dan berkesan perlu menjadi agenda utama PBT setiap masa agar rakyat dan juga sektor swasta sentiasa menerima perkhidmatan yang terbaik daripada PBT. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha gigih bagi menjayakan mesyuarat JKPPP kali ini. Harapan saya semoga semua yang hadir dapat memberikan kerjasama dengan mengemukakan pandangan dan maklumbalas yang bernas khususnya ke atas setiap kertas kerja yang akan dibentangkan nanti. Dengan itu saya dengan sukacita merasmikan Mesyuarat JKPPP Bil.1/2005 ini.

Sekian, terima kasih dan selamat bermesyuarat.