PENYAMPAI
:
TIMBALAN PERDANA MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
15-Jan-2005HARI : Sabtu
MAJLIS
:
PERASMIAN PROJEK PPR DIMILIKI
TANJUNG SELANGOR
TEMPAT
:
TANJUNG SELANGOR, PEKAN, PAHANG
ISU
:
PERUMAHAN NEGARA



TEKS UCAPAN PENUH :

Bismilla Hirrahma Nirrahim

Saudara Pengerusi Majlis,

Y.A.B. Dato’ Seri Adnan Bin Yaakob,
Menteri Besar Pahang,

Y.B. Dato’ Abdul Rahim Bin Abdul,
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen,

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Y. Bhg. Dato’ Lokman Hakim bin Mohd Jasan,
Ketua Setiausaha,
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan,

Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Dif-dif Kehormat, Pemimpin-pemimpin Masyarakat, Penduduk-penduduk Kawasan Pekan dan kawasan sekitar Pekan dan Tuan-tuan, Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh,

Selamat pagi dan salam sejahtera,

Bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama bertemu di majlis yang mulia pada pagi ini.

Para Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Negeri Pahang serta kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada pagi ini.

Majlis ini diadakan adalah bertujuan untuk beramah mesra dengan penduduk-penduduk kawasan Pekan sempena Perasmian Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Dimiliki Tanjung Selangor, Pekan.

PPR Dimiliki merupakan salah satu daripada program perumahan yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk golongan rakyat berpendapatan rendah yang dilaksanakan melalui KPKT. Kerajaan sentiasa serius dalam mengambil berat mengenai kebajikan golongan rakyat berpendapatan rendah di negara kita terutama dari segi penyediaan kemudahan perumahan serta kemudahan-kemudahan asas yang lain. Matlamatnya adalah supaya dapat memperbaiki lagi mutu kehidupan mereka agar sejajar dengan kepesatan pembangunan negara.

Para Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

Program perumahan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) adalah bertujuan untuk menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti, selesa, dan mampu dimiliki atau disewa bagi memenuhi keperluan tempat kediaman khususnya golongan berpendapatan rendah.

Dalam usaha menyediakan kemudahan perumahan tersebut Kerajaan melalui KPKT sebelum ini telah melaksanakan berbagai-bagai program perumahan antaranya ialah Skim Pertapakan dan Kemudahan (SPK), Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Bersepadu. Selain daripada itu, melalui KPKT juga Kerajaan ada menyediakan kemudahan Skim Pinjaman Perumahan (SPP) bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang tinggal di luar bandar membina rumah di atas tanah mereka sendiri.

Namun demikian, memandangkan keperluan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah di bandar-bandar dan luar bandar yang masih lagi tinggi, beberapa inisiatif telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan. Sebagai langkahnya, KPKT telah merangka pendekatan baru untuk mempercepatkan pembinaan rumah kos rendah iaitu melalui konsep PPR Dasar Baru Disewa dan Dimiliki.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 27 Februari 2002 telah meluluskan cadangan pembaharuan pelaksanaan perumahan kos rendah di seluruh negara oleh KPKT melalui PPR Dasar Baru tersebut. Dengan kelulusan berkenaan, Kerajaan mensasarkan untuk membangunkan sejumlah 90,000 unit rumah kos rendah lagi yang terdiri daripada 50,000 unit rumah adalah untuk disewa dan 40,000 unit rumah adalah dimiliki bagi menggantikan program PAKR.

Di bawah Dasar Baru berkenaan, projek PAKR telah dijadikan sebagai projek Kerajaan Persekutuan dengan nama PPR Dimiliki. Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah KPKT telah diberi tanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan projek PPR tersebut termasuk perancangan awal, perlantikan juru perunding, pengurusan tender dan lain-lain.

Manakala Kerajaan Negeri bertanggungjawab menyediakan tapak yang sesuai dan strategik untuk pembangunan PPR. Selain daripada itu juga, Kerajaan Negeri masih lagi bertanggungjawab menjalankan proses pemilihan dan menempatkan peserta.

Kelebihan PPR Dimiliki Dasar Baru ini ialah Kerajaan Negeri tidak lagi perlu meminjam dan mengutip bayaran jualan kerana semua kos pembinaan adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Kini KPKT telah melaksanakan sebanyak 25 projek (3,644 unit) PPR Dimiliki di mana semua projeknya adalah tertumpu di negeri Pahang sahaja. Pembinaannya adalah dijangka akan dapat disiapkan secara berperingkat-peringkat sehingga tahun 2006. Sementara tanggungjawab untuk meneruskan pembinaan bakinya yang berjumlah lebih kurang 36,356 unit lagi telah diserahkan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Manakala pelaksanaan PPR Dasar Baru Disewa adalah masih lagi di bawah tanggungjawab KPKT.


Para Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

Rakyat berpendapatan rendah di negeri ini merupakan mereka yang bertuah kerana akan berpeluang untuk memiliki rumah PPR berkenaan yang akan diagihkan oleh pihak Kerajaan Negeri apabila ianya siap nanti. Demikian juga dengan penduduk-penduduk di kawasan ini, mereka tidak ketinggalan dalam menikmati peluang ini kerana daripada 25 projek PPR tersebut sebanyak 6 projek (1,068 unit) telah dibina di kawasan Pekan.

Keistimewaan projek PPR Dasar Baru Dimiliki ini juga ialah rumah-rumahnya telah dibina dengan standard pembinaan yang seragam dan saiznya yang selesa iaitu minima di antara 60 meter persegi (650 kaki persegi) atau lebih yang mengandungi 3 bilik tidur, 2 bilik air, ruang tamu dan ruang dapur seperti mana rumah contoh di sebelah. Tuan-tuan dan puan-puan semua boleh melihat keadaannya sendiri nanti. Keadaan dan keluasan rumah-rumah PPR berkenaan adalah setanding dengan rumah-rumah kos rendah dan sederhana kos rendah yang dibina oleh pihak swasta.

Manakala dari segi penetapan harganya pula adalah mampu untuk dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah iaitu pada kadar di antara RM25,000 hingga RM35,000 sahaja. Ianya adalah lebih rendah dan berpatutan berbanding dengan rumah-rumah yang berada di pasaran dengan keadaan jenis rumah yang sama. Kalau dibandingkan dengan kos pembinaannya adalah lebih tinggi dan pada kadar RM25,000 hingga RM35,000 tidak mungkin dapat membina rumah yang sebesar dan secantik itu.
Ini jelas menunjukkan kepada masyarakat bahawa pihak Kerajaan amat prihatin dan tidak mengabaikan golongan berpendapatan rendah dalam menuju arus pembangunan negara. Malahan pihak Kerajaan sentiasa berusaha menyediakan kemudahan perumahan untuk mereka serta menanggung sebahagian daripada kos yang terlibat, terutamanya di kawasan-kawasan pembinaan yang membabitkan kos yang tinggi dan tidak mendapat sambutan daripada pihak swasta. Ini kerana Kerajaan sedar akan tanggungjawabnya terhadap golongan rakyat berpendapatan rendah.

Selain daripada itu, Kerajaan juga telah mengambil langkah memperkemaskan lagi sistem pengagihan perumahan kos rendah iaitu melalui Sistem Pendaftaran Terbuka (SPT) Berkomputer yang dikendalikan oleh pihak Kerajaan Negeri masing-masing.

Ianya merupakan satu mekanisme pengagihan rumah kepada golongan berpendapatan rendah termasuk masyarakat setinggan, golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) serta orang bujang yang mempunyai ramai tanggungan yang berkemampuan untuk memiliki rumah kos rendah. Dengan pelaksanaan SPT secara teratur akan dapat memastikan pengurusan pemilihan dan pengagihan rumah-rumah kos rendah kepada golongan sasaran dijalankan dengan lebih kemas, adil dan telus.

Para Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

Majlis perasmian projek PPR Dimiliki Tanjung Selangor, Pekan ini adalah merupakan kali yang kedua pihak KPKT dan Kerajaan Negeri Pahang menjemput saya untuk merasmikannya. Kali pertama adalah Majlis Perasmian Projek PPR Dimiliki Kuala Pahang yang telah diadakan bulan Disember 2002.

Pelaksanaan PPR Dimiliki adalah merupakan langkah bijak Kerajaan dalam mengatasi masalah perumahan golongan berpendapatan rendah terutamanya bagi mereka yang belum memiliki rumah dan kurang berkemampuan. Tempat kita berkumpul pada pagi ini iaitu di tapak projek PPR Dimiliki Tanjung Selangor sebenarnya merupakan contoh yang baik yang membuktikan komitmen Kerajaan terhadap golongan-golongan yang disebutkan tadi.

Kalau sebelum ini, tapak ini hanyalah merupakan kawasan paya bakau sahaja, tetapi kini akan menjadi satu kawasan taman perumahan yang indah dan menarik persekitarannya. Selain daripada itu, ianya juga dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat, di samping dapat mengeratkan perhubungan baik dan perpaduan di kalangan penduduk supaya melahirkan keadaan yang aman, makmur dan bahagia.

Bagi memastikan lebih banyak rumah kos rendah seumpama ini dilaksanakan pada masa akan datang, pihak Kerajaan Negeri dan semua agensi yang berkaitan perlulah memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat dalam merangka dan melaksanakan program-program perumahan yang baru. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk mempertingkatkan pembangunan komuniti supaya rakyat benar-benar mendapat manfaat daripada pembangunan projek seperti ini.

Manakala masyarakat yang mendapat kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan ini pula, perlulah bersyukur dan menghargainya. Justeru itu, masyarakat semua adalah diseru supaya memberi sokongan padu kepada Kerajaan dalam melaksanakan program-program pembangunan. Ini kerana tiada mana-mana pihak yang dapat memberi atau menyediakan kemudahan-kemudahan yang lebih baik seperti sekarang melainkan hanya pihak Kerajaan sedia ada yang memerintah sekarang ini.

Para Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

Sebelum mengundur diri, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPKT dan Kerajaan Negeri Pahang serta semua pihak yang terlibat dalam memberi kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan pelaksanaan projek PPR Dimiliki Tanjung Selangor, Pekan ini. Rakaman penghargaan juga ditujukan kepada semua Kementerian, Jabatan dan agensi yang berkaitan samada Kerajaan mahupun swasta yang telah memberikan pelbagai bentuk kerjasama dan sokongan dalam menjayakan projek-projek PPR di seluruh negara.

Tahniah dan penghargaan juga tidak dilupakan kepada pihak Urusetia Majlis yang terdiri daripada pelbagai agensi yang telah berjaya mengaturkan persiapan majlis yang begitu meriah pada pagi ini. Akhirnya sebagai penutup dengan lafaz yang mulia, Bismilla Hirrahma Nirrahim, saya merasmikan Majlis Perasmian Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Dimiliki Tanjung Selangor, Pekan, Pahang pada hari ini.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.