PENYAMPAI
:
TIMBALAN MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
17-Sep-2005HARI : Sabtu
MAJLIS
:
PERTANDINGAN MASAKAN DAN GUBAHAN MAJLIS PERBANDARAN KLANG 2005 SEMPENA SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN KE-48
TEMPAT
:
TAMAN RAKYAT KLANG
ISU
:
KERAJAAN TEMPATAN



TEKS UCAPAN PENUH :

Bismilahirahmanirahim,

Assalamualaikum Waramatulahi Wabrakatuh, Salam Sejahtera dan Selamat Pagi.

Yang dihormati saudari Pengacara Majlis.

Yang Berusaha Tuan Abd. Bakir bin Hj. Zin
Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Klang

Y.B. Puan Norliza Ahmad
ADUN Selat Klang

Y.B. Puan Kamala a/p Ganapathy
ADUN Sri Andalas

Y.B. Dato’ Teh Kim Poo
ADUN Pandamaran

Y.B. Puan Ching Su Chen
ADUN Kota Alam Shah

Y. Bhg. Puan Norhayati binti Dato’ Onn
Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan
Keluarga Kawasan Parlimen Klang

Ahli-ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang

Yang Berusaha Tuan Haji Mokhtar bin Ahmad
Setiausaha Majlis Perbandaran Klang

Ketua-ketua Jabatan Daerah/Majlis

Para Pegawai/kakitangan dan para peserta pertandingan Masakan dan Gubahan

Rakan-rakan Wartawan serta tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Alhamdullillah! Bersyukur kita ke hadrat Yang Maha Esa kerana di pagi yang berbahagia dan ceria ini kita dapat bersama-sama berkumpul bagi memeriahkan satu lagi program bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan ke-48 di Bandar DiRaja Klang yang kita semua kasihi ini.

Begitu indah, nyaman, aman damai dan meriah sekali suasana di pagi ini, jelas membuktikan betapa beruntungnya kita sebagai rakyat Malaysia, hidup di bumi bertuah ini.

Sidang hadirin sekalian,

saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian pihak Majlis Perbandaran Klang menjemput saya untuk merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Masakan Dan Gubahan Majlis Perbandaran Klang Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke 48 pada pagi ini. Saya merasa terharu dan bertuah kerana dapat bersama-sama di majlis pada hari ini.

Untuk makluman hadirin/hadirat sekalian acara yang diadakan pada pagi ini adalah merupakan antara sebahagian dari program-program tahunan yang dilaksanakan oleh sebuah Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Perbandaran Klang. Ianya sebagai sumbangan kepada warga Klang untuk mengembalikan kemeriahan kecemerlangan sukan di bandar ini. Selari dengan iltizam Mesra Rakyatnya, pihak kerajaan ingin membawa dan mengalu-alukan kesemua warga Klang untuk melibatkan diri dalam pelbagai acara yang memberi peluang kepada setiap peringkat khususnya golongan wanita, isteri, ibu-ibu dan remaja untuk turut serta dalam pertandingan ini.

Begitulah keikhlasan, cita-cita dan impian kerajaan untuk menghargai sokongan rakyat dan seterusnya membalas kembali jasa serta kepercayaan yang diberikan melalui pelbagai program-program kerakyatan. Kita pasrah, akur dan cuba menyelami jiwa serta perasaan rakyat. Semua kemajuan yang dikecapi berdasarkan usaha-usaha pihak kerajaan untuk merakyatkan pembangunan. Pendekatan segala yang dilaksanakan demi kepentingan dan keselesaan rakyat umum bagi jaminan kesejahteraan kehidupan mereka.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sambutan Hari Wanita yang diadakan pada setiap tahun adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara kita. Bukan sekadar menghargai dan memberi pengiktirafan, bahkan kerajaan kita yang dipimpin oleh Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sentiasa berikhtiar untuk memastikan kaum wanita di Malaysia akan terus maju dan sama-sama naik setaraf dengan kaum lelaki dalam semua bidang.

Ini terbukti dengan jelas yang mana baru-baru ini kerajaan telah menggubal satu dasar khusus mengenai wanita iaitu Dasar Wanita Negara. Pengwujudan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga juga membuktikan keikhlasan kerajaan dalam memastikan hak-hak wanita terbela. Selain itu, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan hak kesaksamaan kepada wanita telah mengukuhkan lagi pengiktirafan Kerajaan terhadap wanita. Di peringkat daerah pula, sebagaimana yang semua telah maklum, Majlis Pembangunan Wanita Dan Keluarga (MPWK) bagi setiap kawasan khususnya kawasan parlimen telah ditubuhkan yang menyumbang ke arah menyediakan landasan kepada wanita di sesuatu kawasan untuk bergiat aktif dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Adalah diperhatikan bahawa pencapaian dan kejayaan kaum wanita dalam pelbagai bidang di negara kita jika dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain amat membanggakan. Bahkan dalam bidang-bidang tertentu di negara kita, kaum wanita adalah lebih berjaya berbanding lelaki. Contohnya dalam bidang pendidikan, kejayaan wanita adalah membanggakan. Ramai wanita di negara ini berjaya mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi baik dalam negara mahupun luar negara dengan mendapat kejayaan yang cemerlang. Ekoran dari itu, kita dapati berlaku peningkatan jumlah kaum wanita di sektor awam, sektor swasta dan juga dalam bidang perniagaan.

Dalam bidang politik pula, kita perhatikan bahawa baik di peringkat kebangsaan mahupun di negeri Sabah sendiri, sudah banyak kaum wanita yang bukan sahaja menjadi ahli biasa, bahkan begitu aktif sekali dan ada yang berjaya dilantik memegang jawatan penting dalam parti dan pentadbiran kerajaan.

Sungguhpun demikian, apa juga yang diperkatakan tentang kejayaan kaum wanita, apabila dilihat secara keseluruhan, memang masih terdapat jurang perbezaan dengan kaum lelaki. Tetapi ini bukanlah alasan untuk kita tidak terus berusaha. Kita tidak harus mengukur kejayaan berdasarkan kepada jumlah tetapi hendaklah berdasarkan peningkatan dari tahun ke tahun. Cuba kita bandingkan peningkatan dan pencapaian kaum wanita dalam serba bidang semenjak negara mencapai kemerdekaan hingga sekarang. Saya percaya kejayaan ini sungguh mengagumkan dan patut dibanggakan.

Kita bersyukur dan berbangga dengan kemajuan dan pembangunan yang dikecapi oleh Malaysia pada hari ini.

Kejayaan yang dinikmati ini merupakan natijah dari kesungguhan, iltizam dan keinginan kita untuk mengecapi taraf dan cara hidup yang lebih baik, progresif dan berdaya saing. Kita berasa lebih bangga kerana kejayaan negara ini turut disumbangkan oleh kebolehan, kesungguhan dan potensi kaum wanita. Jika sebelum merdeka, kaum wanita turut berjuang untuk memerdekakan negara, sebagai kesinambungannya, selepas merdeka, kaum wanita mengorak langkah untuk sama-sama mengisi kemerdekaan dengan menyumbang dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial dan politik. Sekitar tahun 60-an dan 70-an, wanita rata-rata menjadi suri rumah tangga, kini wanita semakin ramai melibatkan diri di alam kerjaya. Tidak dinafikan, wanita pada hari ini berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lelaki.

Selaras dengan Tema Hari Wanita pada tahun ini “Memupuk Generasi Berkualiti”.Ketrampilan dan kredibiliti wanita telah terbukti apabila semakin ramai wanita menyandang jawatan-jawatan penting. Bukan setakat jawatan dalam Kerajaan seperti Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Gabenor Bank Negara, Hakim, Pakar Bedah, Pakar Astronomi dan sehinggalah kepada Juruterbang Pesawat Pejuang, bahkan banyak lagi jawatan kritikal dalam sektor swasta seperti perbankan, kewangan dan teknologi maklumat yang kini diterajui oleh wanita. Perkembangan ini jelas memperlihatkan wanita Malaysia memainkan peranan yang semakin penting dalam mencorakkan hala tuju dan pembangunan negara.

Namun, walau setinggi mana jua pencapaian seseorang wanita itu, tanggungjawab asas dan hakiki wanita sebagai seorang ibu dan isteri tidak harus dikesampingkan. Kewujudan sebuah keluarga yang bahagia dan cemerlang tentunya akan menyempurnakan definisi kebahagiaan seseorang wanita.

Sebagai isteri, tanggungjawab kepada suami perlu diperhati dan ditunaikan sebaik mungkin. Berusahalah memperbaiki segala kekurangan diri, di samping sentiasa menggilap kelebihan dan potensi yang ada. Lebih daripada itu, wanita harus bersedia menjadi seorang pendengar, motivator, pemberi nasihat dan rakan berbincang kepada suami. Saya yakin, jauh dilubuk hati sanubari setiap isteri tentunya tersemat hasrat murni untuk menjadi seorang isteri solehah dan isteri mithali. Justeru, realisasikanlah impian ini dengan melaksanakan tanggungjawab kita sebaik mungkin berlandaskan ilmu, iman dan taqwa.

Sebagai ibu kepada anak-anak yang dahagakan bimbingan dan kasih sayang, soal pendidikan dan penerapan akhlak mulia adalah menjadi prioriti. Dalam keadaan kegawatan sosial yang semakin menjadi-jadi, penghayatan agama terutamanya solat lima waktu mesti menjadi teras asuhan bagi anak-anak. Terapkan dalam jiwa mereka nilai-nilai yang murni supaya mereka membesar menjadi generasi yang berilmu dan berjasa kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. Didiklah anak-anak lelaki kita supaya menghormati dan menghargai kaum wanita. Bagi anak-anak perempuan pula, didiklah mereka supaya mereka tahu menjaga serta mempertahankan diri dan hak mereka.

Sekiranya nilai-nilai murni ini disemai dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil, Insya-Allah mereka akan sentiasa berpegang pada nilai-nilai murni ini walaupun ketika berjauhan daripada keluarga. Perkembangan akademik mereka pula perlu sentiasa diberi perhatian dan galakan. Di luar waktu persekolahan, luangkanlah masa bersama anak-anak dan rancanglah aktiviti aktiviti yang bersesuaian.

Masa beralih, zaman berubah. Era baru datang bersama-sama cabaran yang berlainan. Dengan kemajuan teknologi yang begitu pesat terutamanya ICT, kaum wanita seharusnya mempersiapkan diri dengan membuka minda dan bersedia menguasai kemahiran baru. Sifat malas belajar atau fobia kepada teknologi baru mesti dielakkan. Tidak syak lagi, kemajuan ini akan menukar cara hidup dan persekitaran kerja rakyat Malaysia dan impaknya pasti berkehendakkan pengadaptasian dan penguasaan terhadap teknologi baru ini. Justeru, langkah-langkah membudayakan ICT kepada setiap wanita adalah tepat dan sangat digalakkan supaya potensi ICT dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan supaya wanita tidak ketinggalan dalam kemajuan dan pembangunan masyarakat di peringkat negara mahupun global.

Akhirkata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Klang atas kejayaan menganjurkan pertandingan masakan dan gubahan pada pagi ini. Tidak lupa juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak dalam menjayakan acara ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pemenang serta semua yang mengambil bahagian pada pagi ini. Semoga segala usaha kita akan memancarkan sinar kejayaan untuk semua.

Bertemu kita di pagi ceria,
Terjalin ikatan seharum kasturi,
Membangun wanita aspirasi mulia,
Bina kekuatan perkukuhkan diri.

Terjalin ikatan seharum kasturi,
Seia sekata, gigih berusaha,
Bina kekuatan perkukuhkan diri,
Cemerlang wanita berjaya negara.

Seia sekata, gigih berusaha,
Merapat barisan depani rintangan,
Cemerlang wanita berjaya negara,
Mencapai wawasan penuh keyakinan.

Maka dengan pantun itu tadi, saya dengan lafaz Bismilahirahmanirahim, merasmikan Majlis Penutupan Dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Masakan Dan Gubahan Majlis Perbandaran Klang Sempena Sambutan Bulan Kemerdekan Ke 48.

Wabilahi Taufik Walhidayah Wasalamualaikum Waramatulahi Wabarakatuh.

Sekian. Terima kasih.