PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
25-Apr-2005HARI : Isnin
MAJLIS
:
KURSUS TEKNIKAL BAGI PEGAWAI-PEGAWAI YANG TERLIBAT DALAM KELULUSAN PEMBANGUNAN
TEMPAT
:
ISU
:
KERAJAAN TEMPATAN



TEKS UCAPAN PENUH :

Yang Berusaha Pengerusi Majlis,

Y Bhg. Dato’ Seri Lokman Hakim bin Mohd. Jasan,
Ketua Setiausaha,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,

Puan Siti Salmah Mohd Nor
Timbalan Ketua Setiusaha ( Pembangunan )
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Ketua-ketua Jabatan KPKT, Wakil-wakil KPKT, Dif-dif kehormat, Datuk-datuk, Penyampai-penyampai kertas kerja, Para peserta kursus, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin mengalu-ngalukan kehadiran datuk-datuk, tuan-tuan dan puan-puan sekalian ke Majlis Perasmian Kursus Teknikal Bagi Pegawai-pegawai Yang Terlibat Dalam Kelulusan Pembangunan yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Saya merasa amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua para peserta yang telah sudi datang dari seluruh pelusuk negara bagi menyahut seruan Kementerian saya untuk menyertai program latihan ini. Walaupun notis yang diberikan untuk menghadiri kusus ini adalah singkat dan para pegawai adalah sibuk dengan pelbagai tugas, kesanggupan tuan-tuan dan puan-puan untuk memberi prioriti kepada kursus ini merupakan satu contoh yang membuktikan sokongan dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan terhadap usaha-usaha KPKT untuk memantapkan lagi institusi PBT.

Y Bhg Datuk-datuk, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kita merasa syukur kerana negara kita sedang membangun dengan pesatnya dan kita sekarang sedang menuju ke arah matlamat menjadi negara maju. Seiring dengan proses pembangunan yang pesat ini, pegawai di PBT menerima banyak permohonan pemajuan tanah untuk tujuan perumahan, komersil dan sebagainya. Saya sedar tuan-tuan dan puan-puan di PBT menghadapi tekanan untuk mempercepatkan kelulusan pelbagai cadangan pemajuan tersebut. Pujian harus diberikan kepada tuan-tuan dan puan-puan di PBT, walaupun dengan pelbagai kekurangan dan kekangan (constraints), secara umumnya PBT telah dapat mengimbangi keperluan untuk memberi kelulusan dalam tempoh yang munasabah dan menguatkuasakan syarat bagi membendung kesan negatif pembanguan.

Bagaimanapun, hakikatnya adalah bilangan kes-kes bencana akibat kesan daripada pembangunan telah kian bertambah. Tidak perlulah bagi saya untuk menyebut kes tersebut satu persatu di sini kerana ianya telah menjadi pengetahuan dan tajuk perbualan umum.

Sesetengah kes bencana tersebut telah menjadi begitu serius sehingga ada yang menyebabkan kehilangan nyawa atau kerugian yang besar kepada kerajaan dan orang awam. Keadaan ini telah mengakibatkan kekhuatiran pihak kerajaan dan orang awam akan keberkesanan agensi kerajaan termasuk PBT dalam memastikan pembangunan yang diluluskan adalah bersesuaian serta selamat.

Kita semua sedar bahawa akibat desakan terhadap pembangunan dan kekurangan tanah, tapak-tapak yang dulunya dianggap kurang sesuai bagi pembangunan kini telah dipohon untuk dibangunkan. Ini merupakan cabaran dan tekanan yang besar kepada para pegawai yang diberi tanggung jawab untuk menilai cadangan pembangunan yang dikemukakan bagi memastikan pembangunan tersebut tidak mendatangkan kesan yang negatif. Selain itu terdapat pula keperluan untuk PBT membuat pemantauan yang lebih teliti semasa dan selepas pembinaan projek sedemikian.

Jika dulu memadai hanya syarat dan undang-undang tertentu sahaja perlu dikuatkuasakan bagi membendung kesan negatif daripada pembangunan, kini dengan kompleksiti pembangunan yang lebih mencabar, para pegawai PBT perlu mengetahui dan memahami pelbagai syarat, kaedah dan teknologi yang berkaitan bagi memastikan pembangunan yang diluluskan membawa faedah dan bukannya bencana kepada masyarakat.

Untuk melaksanakan tanggung jawab yang mencabar ini, para pegawai yang terlibat harus lebih teliti dan sentiasa berusaha agar semua garispanduan dan undang-undang yang mengawal kesan negatif pembangunan disyaratkan dan dikuatkuasakan sepenuhnya. Selain itu, para pegawai berkenaan hendaklah juga sentiasa berusaha untuk menambah pengetahuan dengan memahami asas-asas teknikal dan kesan perundangan di sebalik tindakan dan keputusan mereka melaksanakan sesuatu garispanduan dan undang-undang yang berkaitan atau sebaliknya.

Selain daripada isu yang disebutkan tadi, masyarakat kita dalam era maklumat (information age) ini semakin vokal menyoal dan mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh PBT termasuklah dalam hal berkaitan kelulusan permohonan sesuatu pembangunan tanah. Ini juga merupakan satu lagi faktor mengapa kita di PBT harus memperkasakan diri dengan pengetahuan bagi memastikan keputusan yang diambil adalah betul dan tepat.

Para hadirin yang saya muliakan,

Berlatar belakangkan senario yang dinyatakan tadi, Kementerian ini telah mengambil keputusan untuk melaksanakan segera kursus ini yang di antara tujuannya adalah untuk membantu PBT dalam aspek ‘capacity building’ yang diperlukan.

Untuk pengetahuan para hadirin sekalian, kursus ini merupakan salah satu daripada langkah-langkah yang sedang dan akan diambil oleh Kementerian ini bagi menangani isu kesan negatif pembangunan.

Di dalam kursus ini kelak para peserta akan berpeluang untuk mendapat pendedahan berhubung kaedah dan perkara yang perlu diutamakan dalam isu pengawalan pembangunan, khasnya daripada aspek mengelakkan bencana.

Kertas-kertas kerja di dalam kursus ini akan disampaikan oleh wakil-wakil daripada Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa, Pusat Remote Sensing Negara (MACREAS), Jabatan Mineral Dan Geosains, Institut Jurutera Malaysia (IEM), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Institut Latihan Tanah Negara (INSTUN), IKRAM, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Saya difahamkan satu bengkel akan turut diadakan pada hari kedua kursus untuk merangka ‘checklist’ yang boleh digunakan untuk menyemak cadangan pembangunan di peringkat perancangan, pembinaan dan selepas pembinaan. Aspek praktikal sebegini adalah sangat berguna kepada para perserta kerana ‘checklist’ ini akan dapat dipraktikkan setelah pulang daripada daripada kursus ini kelak.

Selain daripada checklist tersebut, saya berharap kursus ini akan dapat memberi menafaat kepada perserta sekurang-kurangnya berhubung perkara-perkara yang berikut:

i) kewujudan pelbagai garispanduan dan undang-undang yang telah disediakan oleh agensi-agensi kerajaan bagi menangani kesan negtif pembangunan termasuklah bencana;

ii) pemahaman dan asas teknikal disebalik syarat pembangunan yang telah yang ditetapkan garispanduan dan undang-undang yang berkaitan; dan

iii) maklumat yang boleh dikongsi serta pihak yang boleh dirujuk sekiranya nasihat tertentu diperlukan dalam hal-hal berkaitan pengawalan kesan pembangunan.

Para hadirin sekalian,

Kita merasa bertuah kerana walaupun tarikh kursus ini telah dibawa kehadapan daripada tarikh perancangan awalnya iaitu 29 Mei 2005, kita masih mendapat kerjasama penuh daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang telah bergabung tenaga dalam menganjurkan kursus ini. Untuk itu, saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih semua pihak tersebut.

Kursus ini merupakan siri pertama daripada beberapa siri kursus yang dirancang bagi tujuan ‘capacity building’ dalam hal-hal berkaitan pengawalan pembangunan kepada semua pegawai PBT yang berkaitan. Jika didapati bersesuaian kelak kursus ini boleh dipanjangkan kepada pegawai-pegawai daripada agensi lain yang turut terlibat dalam proses meluluskan pembangunan.

Saya benar-benar berharap agar kursus ini merupakan satu pendahuluan dan pencetus kepada keinginan tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk mempertingkatkan pengetahuan dan usaha bagi memantapkan pengawalan pembangunan di PBT masing-masing. Saya percaya banyak lagi aspek terperinci yang lain yang perlu diberi perhatian. Oleh itu, saya menyeru kepada semua para peserta dapat meneruskan usaha yang kita telah mulakan di kursus ini.

Sebelum saya menutup ucapan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JKT dan JPBD di atas sumbangan mereka untuk menganjurkan kursus ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua agensi dan pihak yang telah menyumbangkan kepakaran dalam menyediakan kertas-kertas-kerja di dalam kursus ini. Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan PBT yang telah menyokong usaha Kementerian untuk menjayakan kursus ini.

Saya dengan segala sukacitanya dengan ini merasmikan Kursus Teknikal Bagi Pegawai-pegawai Yang Terlibat Dalam Kelulusan Pembangunan.

Sekian dan SELAMAT BERKURSUS!

Terima kasih.