MAKLUMAT UMUM

Penyampai
:
MENTERIKategori :UCAPAN PERASMIAN
Tarikh
:
07/26/2008Bahasa :Bahasa Melayu
Hari
:
Sabtu
Majlis
:
HARI ANUGERAH SMK SUNGKAI
Tempat
:
SMK SUNGKAI
Berkaitan Isu/Majlis
:
ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG

TEKS UCAPAN PENUH




Tn. Hj. Kamaaruddin Bin Muhammad
Yang Berusaha Pengetua SMK Sungkai,

PJK; Penolong-penolong Kanan Pentadbiran SMK Sungkai,

Wakil Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang,

Wakil Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Batang Padang,

Guru-guru dan Warga SMK Sungkai,

Yang dihormati Yang DiPertua PIBG SMK Sungkai dan barisan jawatankuasa tertinggi,

Yang Setia Ketua Balai Polis Sungkai,

Yang Berusaha Penghulu Mukim Sungkai,

Ketua-ketua Kampung,

Ibu bapa-ibu bapa pelajar dan para pelajar yang dikasihi sekalian.

Salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang hadir dalam majlis ini, khususnya kepada para pelajar dan ibu bapa yang telah menunjukkan keintelektualan dan sahsiah yang cemerlang. Tahniah dan terima kasih juga kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion peguruan sehingga mampu membantu kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti serta berjiwa patriotik. Saya sebenarnya begitu bersyukur dan gembira dijemput hadir dalam majlis ini bersama-sama dengan pihak tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Semoga majlis yang amat bermakna ini dapat dijadikan asas permulaan anjakan paradigma menjana modal insan gemilang dan terbilang. Sehubungan dengan itu, saya berharap pihak sekolah dan PIBG dapat bekerjasama mendepani segala cabaran dan permasalahan yang timbul. Pihak sekolah dan ibu bapa, sebaik-baiknya wujudkan suasana kolaboratif dengan sentiasa berbincang. Hindarkan sebarang perbalahan kerana ini tidak menguntungkan, malah merugikan semua pihak.

Saya difahamkan tenaga pengajar di sekolah ini seramai 72 orang dengan jumlah murid 832 orang. Beberapa buah bangunan tambahan sekolah dan asrama sedang dalam pembinaan dengan kos keseluruhan RM 6 juta. Kerajaan sentiasa peka akan pentingnya ilmu bagi melahirkan modal insan gemilang. Saya juga dimaklumkan bahawa pencapaian pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum di sekolah ini amat membanggakan, dengan prestasi pencapaian peratus lulus SPM pada tahun 2007 ialah 80.4% dan STPM 91.55 %. Pada tahun ini sahaja sebanyak 28 orang pelajar lulusan STPM telah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan, institut perguruan dan matrikulasi. Sementara pencapaian sekolah dalam kokurikulum mencapai kejayaan sehingga ke peringkat daerah dan negeri. Pelajar sekolah ini juga mendapat johan daerah dalam Pertandingan Bola Sepak Peringkat Daerah Batang Padang Bawah 18 Tahun, Naib Johan Mengarang Esei Bahasa Tamil peringkat negeri Perak dan tempat ketiga dalam acara memanah di peringkat negeri Perak. Iltizam dan komitmen pelajar-pelajar ini perlu dihargai. Tahniah sekali lagi kepada pelajar-pelajar berwawasan yang ada di dewan ini, tanpa usaha guru-guru dan ibu bapa siapalah kita.

Memandangkan pendidikan menyuburkan kualiti kehidupan dan bersifat dinamik, guru perlu mewujudkan tanggapan yang positif terhadap diri dan kerjayanya. Perkara ini penting kerana masyarakat akan membuat tanggapan terhadap guru berasaskan cara mereka berfikir, berpakaian, bercakap dan berinteraksi dengan pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Ibu bapa dan masyarakat pula, hendaklah bersifat rasional dan jangan cepat melatah menyalahkan pihak sekolah apabila timbul sesuatu masalah, misalnya masalah disiplin, malah saya harap menyiasatnya terlebih dahulu. Saya percaya, pengetua bertanggungjawab dan mahukan sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik serta kondusif. Cuma kadangkala masalah disiplin berlaku tanpa disangka dan sebagai ibu bapa keikhlasan pengetua mengurus sekolah perlu dilihat secara positif.

Sejak merdeka dan bermula daripada Akta Pendidikan 1961 sehingga Akta Pendidikan 1996, asas perpaduan atau integrasi menjadi dasar dalam pendidikan negara. Realiti sosio-ekonomi-politik antara kaum menyebabkan isu integrasi sering berbangkit. Memperkasa sekolah kebangsaan, mengizinkan sekolah jenis kebangsaan wujud merupakan gambaran toleransi dalam memberi ruang dan pilihan kepada murid dalam kalangan semua kaum untuk belajar. Pendekatan sekolah wawasan, sekolah bestari dan sekolah satu sesi merupakan usaha terancang oleh kerajaan supaya asas integrasi dapat diperkukuh. Oleh hal yang demikian, sistem pendidikan masa kini memerlukan perubahan yang sememangnya tidak dapat dielakkan supaya selaras dengan keperluan semasa, memenuhi tuntutan zaman dan lingkungan. Walau bagaimanpun, kita mungkin perlu berhenti sejenak melihat perubahan dan perkembangan itu. Pertama, untuk kita mengimbau sejenak dan menginsafi betapa bertuahnya kita berada di bumi Malaysia dengan menikmati pelbagai peluang pendidikan di dalam dan di luar negara. Yang penting kesungguhan dan keinginan kita mengejar setinggi mana pencapaian yang dikehendaki. Kedua, untuk kita merenung ke depan buat mempersiapkan diri dan generasi akan datang bagi menghadapi pelbagai cabaran yang sudah tentu tidak sama lagi dengan yang ada pada hari ini. Menginsafi hakikat ini, tidak syak lagi sistem pendidikan menuntut kita untuk sentiasa memperbaharui diri dengan ilmu dan tekad yang baru dari semasa ke semasa.

Tuntutan zaman yang berubah memerlukan perubahan dari segi ilmu dan kemahiran. Oleh hal yang demikian, saya menyeru ibu bapa merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan. Guru-guru, para pelajar dan ibu bapa serta masyarakat sekalian, saya menyarankan agar sentiasa memberi nilai tambah diri dengan terus belajar dan menambah ilmu supaya dengan itu kita semua akan terus relevan dengan perubahan zaman. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa pendidikan yang mengutamakan aspek akademik semata-mata akan menyebabkan lahirnya generasi yang pintar tetapi tidak mampu menonjolkan kebestariannya dalam tindakan atau membuat keputusan. Oleh itu, aspek kemanusiaan tidak diketepikan kerana melaluinya terdapat beberapa pertimbangan atau budi bicara bagi membolehkan pembentukan sahsiah yang seimbang. Lantaran itu, sebagai Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan, usaha kerajaan untuk menjadikan pendidikan sebagai penjana kecemerlangan, golongan pendidik, ibu bapa dan masyarakat hendaklah membuka minda dan mengemaskinikan pengetahuan sedia ada sambil meneruskan usaha untuk melahirkan anak-anak didik yang bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi juga berakhlak mulia, berhemah tinggi, dan disegani pada peringkat duniapendidikan sudah bermula dari rumah lagi.

Bersesuaian dengan itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia amat prihatin dengan masalah rakyat dengan menyediakan pelbagai bantuan untuk merapatkan jurang perbezaan pendidikan di antara sekolah bandar dan di luar bandar. Pelbagai bantuan telah dan sedang disediakan oleh pihak kerajaan sepanjang tahun 2008 ini. Antara jenis bantuan yang telah berjaya dilaksanakan ialah Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dengan peruntukan RM 343 juta, Skim Bantuan Tuisyen dengan peruntukan RM246.9 juta, Rancangan Makanan Tambahan RM276 juta, Program Susu Sekolah dengan peruntukan RM26.7 juta, Bantuan Makanan Asrama dengan peruntukan RM 1.4 bilion, Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid dengan peruntukan RM 9.1 juta, Bantuan Buku Teks dengan peruntukan RM 300 juta, Pemansuhan Yuran Khas Sekolah dengan peruntukan RM 36.7 juta dan Pemansuhan Yuran Peperiksaan dengan peruntukan RM 255 juta. Sebagai tambahan lagi, kerajaan melalui kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM 50 juta untuk Bantuan Makanan Khas Prasekolah. Muktahir bantuan Elaun Pakaian Seragam Unit Beruniform kepada murid sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka mengikuti program kokurikulum dengan lebih sempurna.

Semua ini membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha meningkatkan sistem pendidikan sejajar dengan hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi. Sempena Majlis Hari Anugerah SMK Sungkai ini, saya secara peribadi mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga SMK Sungkai, PIBG, ibu bapa dan para pelajar cemerlang kerana komited menjayakan program sekolah. Saya selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Tanjong Malim akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada pihak sekolah untuk melahirkan modal insan gemilang dan terbilang. Akhir kata kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini saya ucapkan terima kasih, kerana sesungguhnya perpaduan dapat dibentuk melalui majlis seperti ini. Sekian terima kasih.