MAKLUMAT UMUM

Penyampai
:
MENTERIKategori :UCAPAN PERASMIAN
Tarikh
:
08/24/2013Bahasa :Bahasa Melayu
Hari
:
Sabtu
Majlis
:
PELANCARAN KEMPEN KAWALAN TIKUS PROGRAM GOTONG ROYONG PERDANA 1MALAYSIA
Tempat
:
DEWAN PEKAN MENGGATAL, KOTA KINABALU, SABAH
Berkaitan Isu/Majlis
:
KERAJAAN TEMPATAN

TEKS UCAPAN PENUH




TEKS UCAPAN

YB DATO’ ABDUL RAHMAN DAHLAN
MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

SEMPENA

PELANCARAN KEMPEN KAWALAN TIKUS PROGRAM GOTONG ROYONG PERDANA 1MALAYSIA

DI DEWAN PEKAN MENGGATAL, KOTA KINABALU, SABAH

24 OGOS 2013


YB Datuk Haji Hajiji Haji Noor
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah;

YBhg. Datuk Arpah binti Abdul Razak
Ketua Setiausaha
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

YB Datuk Abidin Mandingkir
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu;

Dato’-Dato’, Datin-Datin, pihak media dan hadirin hadirat sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Selamat Pagi dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah, pada pagi yang berbahagia ini, saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama para hadirin sekalian yang dapat hadir di Dewan Pekan Menggatal ini, untuk Majlis Pelancaran Kempen Kawalan Tikus Peringkat Kebangsaan, dan seterusnya untuk menyempurnakan Program Gotong-Royong Perdana 1Malaysia. Komitmen Dato’-Dato’, Datin-Datin, pihak media dan hadirin hadirat sekalian untuk menjayakan kempen ini amat saya hargai.

2. Tidak lama lalu pada bulan Jun 2013, pihak media telah mengetengahkan kes Leptospirosis (atau yang juga dikenali sebagaoi kencing tikus) berikutan beberapa kematian yang dikaitkan dengan penyakit ini. Sepertimana kita semua sedia maklum, kesedaran mengenai penyakit Leptospirosis adalah agak rendah di kalangan masyarakat tempatan. Walau bagaimanapun, jika dilihat dari statistik kes, jelas sekali penyakit Leptospirosis ini sedang meningkat di negara kita. Kes-kes Leptospirosis yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia meningkat daripada 2268 kes (dengan 55 kematian) kepada 3665 kes (48 kematian) pada 2012. Sementara itu, bagi tahun ini pula data sehingga 1 Jun 2013 menunjukkan 1768 kes dengan 18 kematian telah dilaporkan. Ini menunjukkan masalah infestasi tikus ini semakin meruncing dan wajar diberi perhatian.

3. Untuk makluman semua, Leptospirosis adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria leptospires, yang disebar dari haiwan seperti tikus kepada manusia. Leptospirosis berlaku di seluruh dunia tetapi sangat mudah dikesan di kawasan tropika dan sub tropika yang mempunyai taburan hujan yang tinggi, seperti negara kita. Penyakit ini lazimnya dikesan sekiranya manusia terdedah kepada kencing tikus atau persekitaran seperti kolam yang tercemar oleh kencing tikus yang dijangkiti oleh kuman leptospirosis.

4. Walau pun kadar insiden penyakit ini tidak diketahui dengan jelas, namun berdasarkan laporan dan rekod yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) julat kadar insiden adalah 0.1–1 bagi 100,000 penduduk setiap tahun dan kadar ini meningkat dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi sehingga 100 bagi 100,000 penduduk. Pasti kita masih ingat kepada insiden dan kematian akibat dari kejadian kencing tikus ini seperti mana yang berlaku di Lata Bayu, Baling di Kedah, Lubuk Yu, Maran di Pahang, di Melaka dan beberapa kes-kes di Sarawak dan tempat-tempat lain di seluruh negara.

5. Di atas kesedaran inilah maka Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau KPKT, mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu bagi membanteras penularan kes-kes Leptospirosis ini. KPKT telah mengatur pelancaran kempen mengawal tikus dengan mengadakan Program Gotong-Royong serentak bagi membersihkan kawasan awam yang dipercayai menjadi tempat pembiakan tikus seperti di pasar, gerai-gerai penjaja dan kawasan-kawasan pelancongan awam. Pada hari ini, pelancaran gotong-royong serentak diadakan di seluruh negara melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan tujuan berikut:

i. Meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai penularan penyakit Leptospirosis dan penyakit bawaan tikus yang lain-lain;
ii. Membersihkan kawasan yang dipercayai menjadi tempat pembiakan tikus supaya populasi tikus dapat dikurangkan; dan
iii. Meningkatkan semangat gotong-royong di antara masyarakat dan agensi-agensi kerajaan untuk kepentingan bersama

Para hadirin sekalian,

6. Pada pagi ini, alhamdulillah kita dapat berkumpul bersama-sama rakyat dan pelbagai pihak dan sukarelawan yang terdiri daripada penduduk tempatan, pihak swasta, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelatih pusat khidmat negara, skuad muda RELA, BOMBA, Persatuan dan Pertubuhan Sukarelawan, ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, tidak ketinggalan juga kakitangan dan pegawai kerajaan persekutuan dan negeri. Saya juga dimaklumkan, pada hari ini, pelajar-pelajar di seluruh negara akan bersama-sama melaksanakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah masing-masing. Terima kasih saya yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua Jabatan-Jabatan Kerajaan yang terlibat terutamanya PBT, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Latihan Khidmat Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Jabatan Pelancongan, dan Jabatan Veterinar; dan juga kepada pihak-pihak pemegang konsesi pengurusan sisa pepejal yang menurunkan anggota serta peralatan dan kenderaan masing-masing untuk sama-sama menjayakan pelancaran kempen kawalan tikus ini.

7. Saya juga ingin memaklumkan bahawa inisiatif ini turut membabitkan Kementerian Pelancongan di bawah 1Malaysia Clean, 1Malaysia Green bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2013. Saya berharap dengan penglibatan ramai pihak-pihak yang berkepentingan, pelancaran program ini akan disahut dengan lebih banyak lagi program gotong-royong membersihkan kawasan sepertimana yang pernah dilakukan bagi program My Beautiful Malaysia. Saya percaya dengan penglibatan di antara awam, kerajaan dan swasta, negara ini akan berupaya mengekalkan keindahan dan kebersihan untuk manfaat dan kebaikan bersama

8. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak terutamanya Menteri-Menteri Besar serta Ketua Menteri yang serentak merasmikan pelancaran ini di negeri masing-masing. Salam kepada Menteri Besar Pahang, Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Perlis, Menteri Besar Terengganu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Lain-lain negeri diwakili oleh EXCO masing-masing.

Tuan-tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

9. Sebagai peneraju utama aspek kebersihan persekitaran bandar khususnya dalam pengawalan tikus, PBT memainkan peranan yang amat penting. Faktor-faktor yang menyumbang kepada pembiakan populasi tikus seperti kebersihan premis makanan, mengelakkan pembuangan sisa-sisa makanan ke dalam longkang terbuka, serta pelupusan sampah sarap hendaklah diuruskan secara berkesan dan efisyen perlulah diberi perhatian utama.

10. Kita semua faham sekiranya kita dapat memutuskan rantaian bekalan makanan dan mengelakkan tikus membina sarang di persekitaran kita, insyallah masalah tikus ini dapat kita atasi. Secara menyeluruhnya, aspek pengurusan sisa pepejal khususnya sampah sarap amat penting dalam pengawalan tikus. Untuk itu, KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) sentiasa berusaha untuk memastikan aspek-aspek berkaitan pengurusan sisa pepejal seperti penstoran, kutipan dan pelupusan akhir dibuat secara betul dan teratur bagi mengelakkan pembiakan tikus. Bagi PBT yang tidak tertakluk kepada Akta 663 dimana mereka menguruskan pengurusan sisa pepejal sendiri, maka ingin saya menyarankan supaya PBT terbabit menubuhkan pasukan khas kawalan vektor dan tikus di kawasan masing-masing.

11. Bagi membantu PBT dalam menjalankan aktiviti kawalan vektor ini, KPKT memperuntukkan agihan sejumlah lebih RM3.2 juta untuk Program Kawalan Vektor termasuk kawalan tikus kepada PBT di seluruh negara. Peruntukan tersebut adalah bagi membantu PBT membeli peralatan berkaitan kawalan tikus seperti racun tikus, perangkap tikus dan bahan-bahan promosi kesihatan.

12. Manakala pemilik premis-premis makanan dan gerai penjaja pula hendaklah diberi latihan dan kesedaran yang mencukupi bagi membolehkan mereka beroperasi dan meyakinkan orang ramai bahawa makanan dan minuman yang disediakan selamat untuk dimakan. Sekiranya didapati premis-premis makan ini berada di dalam keadaan yang kotor dan mencurigakan, maka PBT hendaklah dengan segera menutup premis tersebut sehingga ia dibuktikan bersih dan selamat. Sekiranya perkara ini dilakukan selalu, saya percaya ia berupaya memberi pengajaran kepada pemilik premis agar mereka sentiasa menjaga kebersihan. Premis makanan juga bolehlah digredkan mengikut tahap kebersihan masing-masing dan orang awam hendaklah memilih premis makanan yang bersih sahaja untuk mereka menikmati makanan dan minuman.

13. Berbalik kepada aktiviti kawalan tikus, pihak KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) juga sedang merangka suatu garis panduan untuk diguna pakai oleh pihak PBT dalam menjalankan aktiviti kawalan tikus. Dengan adanya garis panduan ini, maka aktiviti kawalan tikus di semua PBT dapat diseragamkan dan ianya dijadikan sebagai rujukan. Pihak JKT perlu juga ada menganjurkan latihan berkaitan aktiviti kawalan tikus kepada anggota-anggota yang terlibat di PBT dari semasa ke semasa. Latihan ini dijalankan bagi menambahkan pengetahuan dan anggota yang terlibat dalam aktiviti kawalan tikus.

14. Pada kesempatan ini, saya sekali lagi mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dengan kempen mengawal tikus terutamanya kepada tuan rumah negeri Sabah khususnya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, pihak media dan pihak-pihak lain yang turut terbabit dalam menjayakan program kebangsaan ini.

Wassalamualaikuam Warahmatullahi Wabaraktuh.