MAKLUMAT UMUM

Penyampai
:
MENTERIKategori :UCAPAN PERASMIAN
Tarikh
:
07/01/2005Bahasa :Bahasa Melayu
Hari
:
Jumaat
Majlis
:
PROGRAM “3-DAYS HEALTH SCREENING EVENT”
Tempat
:
Berkaitan Isu/Majlis
:
LAIN-LAIN

TEKS UCAPAN PENUH



Y.Bhg. Tan Sri Dr. Ab. Majid b. Ismail
Pengerusi
Yayasan Jantung Negara

Encik Yip Kum Fook
Pengeruai
MCA Gombak

Encik Tony Ang
Ketua Biro Warga Emas

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.


Terlebih dahulu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jemputan dari pihak penganjur bersama iaitu Biro Warga Emas MCA Gombak dan Yayasan Jantung Negara untuk merasmikan program kesihatan yang bermakna ini.

Syabas diucapkan kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan satu program kesihatan yang memberi kebaikan kepada penduduk-penduduk tempatan.


Saya percaya, program ini akan memberi kesedaran kepada penduduk-penduduk tempatan mengenai pengetahuan asas dan cara-cara yang betul untuk menjaga kesihatan masing-masing.

Sepertimana yang kita ketahui, amalan cara hidup sihat dapat meningkatkan keadaan kesihatan rakyat, mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik seperti serangan jantung, strok, kanser mahu pun tekanan darah tinggi. Amalan cara hidup sihat akan membolehkan rakyat memiliki stamina dan keupayaan yang lebih baik untuk menikmati kehidupan.

Untuk mencapai matlamat cara hidup sihat, 4 tingkahlaku asas kesihatan perlu diamalkan setiap masa seperti berikut:

1. Makan secara sihat

2. Melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi

3. Menangani tekanan atau stress secara bijak

4. Tidak merokok

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan Kempen Cara Hidup Sihat dengan tujuan untuk mempromosikan kesihatan serta meningkatkan usaha untuk mencegah penyakit-penyakit berkaitan dengan amalan cara hidup yang tidak sihat.

Kempen ini merupakan pendekatan baru pihak kerajaan ke arah peningkatan taraf kesihatan rakyat dan seterusnya akan meningkatkan produktiviti dan kualiti kehidupan. Secara tidak langusung kempen ini boleh menyumbang kepada pengurangan kejadian penyakit-penyakit dan menjimatkan kos perubatan.

Menurut Tinjauan Kesihatan yang dijalankan pada tahun 1996, hanya 30.9% daripada rakyat kita yang berumur 18 tahun ke atas didapati bersenam dan cuma 11.6% sahaja yang bersenam dengan secukupnya. Manakala sebanyak 70 % daripada rakyat kita tidak pernah bersenam terutama di kalangan wanita.

Trend yang tidak sihat ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengalami masalah obesity dan lebih berat badan serta menghidap penyakit-penyakit kronik yang serius.

Apa yang lebih membimbangkan amalan cara hidup yang tidak sihat di kalangan pemuda-pemudi kita semakin berleluasa dengan semakin ramai di antara mereka didapati menghisap rokok, meminum arak dan menagih dadah. Jika trend ini tidak diperbetulkan, sudah tentu kualiti dan produktiviti rakyat kita, terutama di kalangan pemuda-pemudi akan menurun dari semasa ke semasa.

Adalah diharapkan program kesihatan seperti ini juga akan membantu mempromosikan amalan cara hidup sihat dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kesihatan ahli-ahli keluarga dan diri sendiri.

Memang betul orang kata kesihatan adalah harta kita yang paling bernilai, tanpa kesihatan, kehidupan kita seolah-olah tidak bermakna lagi dan juga akan mengalami banyak kesengsaraan.

Mudah-mudahan, usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan badan-banda bukan kerajaan akan membantu untuk membina sebuah negara yang rakyatnya kuat dan sihat.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan program kesihatan ini.