MAKLUMAT UMUM

Penyampai
:
MENTERIKategori :UCAPAN PERASMIAN
Tarikh
:
05/25/2008Bahasa :Bahasa Melayu
Hari
:
Ahad
Majlis
:
PENUTUP KEM LATIHAN BELIA BULAN
SABIT MERAH MALAYSIA CABANG IPOH
Tempat
:
WISMA BULAN SABIT MERAH MALAYSIA
PERAK, IPOH
Berkaitan Isu/Majlis
:
LAIN-LAIN

TEKS UCAPAN PENUH




Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapan ribuan terima kasih kepada Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Ipoh kerana menjemput saya untuk menghadiri dan merasmikan Majlis Penutup Kem Latihan Belia Bulan Sabit Merah Cabang Ipoh pagi ini.

Walaupun saya agak sibuk dnegan tugas sebagai seorang menteri persekutuan, tetapi saya turut hadir ke majlis ini dan memberi penuh sokongan saya kepada Bulan Sabit Merah. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Ipoh atas perlantikan saya sebagai pernasihat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

Walaupun kita ketahui bahawa Ilmu Pertolongan Cemas itu sangat penting dan banyak galakkan telah diberikan kepada orang ramai untuk mempelajari ilmu itu, tetap masih terdapat banyak orang yang masih tidak tahu akan kepentingannya. Mereka hanya akan memahami betapa pentingnya ilmu itu selepas berlakunya sesuatu kecemasan atau kemalangan. Jika kita dapat memberi bantuan pertolongan cemas kepada mangsa-mangsa kemalangan pada peringkat awal, saya pasti lebih banyak nyawa akan dapat diselamatkan.

Batu-baru ini, Negara Myanmar dan Negeri China telah dilanda bencana alam yang amat teruk dan telah merangut banyak nyawa disamping beribu-ribu yang tercedera. Pasukan-pasukan dari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah telah bertindak cergas. Pasukan-pasukan sukarela Palang Merah dan Bulan Sabit Merah telah dihantar ke tempat kejadian sejak awal lagi untuk memberi rawatan kepada mangsa-mangsa dan membantu di dalam tugasan pengagihan makanan dan pakaian.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Palang Merah dan Bulan Sabit Merah bukan sahaja adalah ”Professional” di dalam bidang pertolongan cemas malah mereka juga begitu berpengalaman di dalam bidang pengurusan bencana alam. Bolehlah dikatakan ”dimana adanya bencana alam, di sana adanya bantuan dari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah”.

Bulan Sabit Merah Malaysia adalah sebuah pertubuhan yang ditubuhkan dibawah Akta Parlimen dan adalah salah satu dari 186 buah Persatuan Kebangsaan di bawah Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan sabit Merah telah ditubuhkan pada tahun 1919, walaupun Palang Merah telah ditubuhkan lebih awal pada tahun 1863.

Bulan Sabit Merah Malaysia telah bermula memberi perkhidmatan sukarela kepada masyarakat kita sejak tahun 1948 dan pada ketika itu sebagai satu cawangan Persatuan Palang Merah British. Tahun ini, Bulan Sabit Merah Malaysia akan merayakan Sambutan Ulang Tahunnya yang ke-60. Selama enam puluh tahun ini, Bulan Sabit Merah Malaysia telah memberi perkhidmatan kemasyarakatan dan kemanusian yang amat besar dan bermakna kepada masyarakat dan negara kita.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, saya difahamkan bahawa Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Ipoh merupakan salah satu cabang yang paling aktif di Negeri Perak. Selain daripada memberi perkhidmatan pertolongan cemas, bantuan bencana alam dan memberi khidmat kemasyarakatan kepada golongan-golongan yang kurang bernasib baik seperti memberi perkhidmatan rawatan percuma kepada penghuni-penghuni di rumah-rumah orang tua atau kurang upaya, mereka juga giat dalam penganjuran aktiviti-aktiviti kesihatan seperti penganjuran kempen derma darah, ceramah dan pameran perubatan. Di samping itu, Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Ipoh juga menganjurkan pelbagai kursus pertolongan cemas untuk ahli-ahli dan orang awam.

Tahniah diucapkan kepada semua ahli Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Ipoh.

Sabagai penasihat Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Ipoh, saya berasa amat bangga atas pencapaian-pencapaian Cabang Ipoh ini dan saya berharap Cabang Ipoh akan terus memberi perkhidmatan yang lebih baik dan efisyen kepada masyarakat berasaskan prinsip-prinsip Bulan Sabit Merah.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk menghadiri majlis yang begitu bermakna pada hari ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pengelola Kem Latihan Belia ini, iaitu Encik Chuan Teik Wei, kerana dengan penganjuran kem latihan ini bukan sahaja lebih ramai ahli-ahli muda dapat mempelajari ilmu-ilmu pertolongan cemas yang terbaru bahkan juga dengan perkhemahan selama 3 hari 2 malam ini ahli-ahli yang terdiri daripada berbilang kaum juga mengeratkan perhubungan di antara satu sama lain.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kem Latihan Belia Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang Ipoh 2008 di tutup dengan rasminya.

Sekian, terima kasih.